.... Memerintah Negara, Pakatan Pembangkang Hanya Beri Kesan Buruk | AAKJ





Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan bahawa ke­ra­jaan perlu dipimpin oleh gabungan parti yang kukuh, berpengalaman dan sehaluan untuk memastikan ekonomi membangun serta kebajikan rakyat terpelihara.

Perdana Menteri berkata, kerjasama antara parti politik dalam gabungan parti yang memerintah merupakan faktor penentu kepada kestabilan politik dalam pembangunan sesebuah negara.

Menurut Perdana Menteri, ke­pemimpinan yang tidak sehaluan sebagaimana yang berlaku dalam pakatan pembangkang akan mendorong Kabinet bertukar dengan kerap sekali gus memberi kesan buruk kepada kelangsungan perkhidmatan asas yang disediakan kerajaan akan terhenti atau tergugat.

Akibatnya, beliau menjelaskan, kerajaan yang diperintah mereka itu akan berpecah-belah dan boleh mengakibatkan ekonomi merudum.

“Melihat kepada sejarah pakatan pembangkang, mereka tidak mampu bertahan lama. Sejak tahun 1986, pembangkang sudah membentuk sembilan pakatan se­perti Barisan Alternatif yang di­tubuhkan pada tahun 1998 tetapi dibubarkan pada tahun 2008. Kemudiannya Pakatan Rakyat yang hidup sejak 2008 hingga 2015. Pakatan-pakatan ini terpaksa dibubarkan selepas beberapa tahun.

“Yang lucunya, pembangkang kini didatangi parti kecil baharu yang ingin menukar nama Pakatan Harapan. Pakatan apa pula yang akan timbul nanti? Konflik dalaman akan menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada rakyat,” katanya dalam rakaman audio yang dimuat naik di laman blog beliau, najibrazak.com hari ini.

Perdana Menteri berkata, sebagaimana yang sedang berlaku di Selangor ketika ini, keadaan politik di negeri itu sebenarnya tidak stabil sekiranya Pas atau DAP menarik diri daripada kerajaan.

Kata beliau, keadaan itu pasti­nya menjejaskan kedudukan Menteri Besar dan kerajaan negeri.

“Bayangkan sekiranya perkara ini terjadi di peringkat Persekutuan. Justeru, untuk memastikan ekonomi membangun dan kebajikan rakyat terpelihara, kerajaan perlu dipimpin oleh gabungan parti yang kukuh, berpengalaman dan sehaluan,” katanya.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top