.... Hari Penentuan Masa Depan PAS-PKR | AAKJ





Esok bakal menjawab persoalan masa hadapan antara Pas dan PKR apabila kuasa pemutus ter­tinggi parti iaitu Majlis Syura Ulama akan memuktamadkan ketetapan Muktamar Tahunan Pas Ke-63 yang mahu hubungan de­ngan PKR diputuskan.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob (gambar) berkata, Majlis Syura Ulama akan bermesyuarat esok bagi membincangkan kete­tapan muktamar di Alor Setar baru-baru ini yang diterima sebulat suara seluruh perwakilan parti.

Ahmad memberitahu, beliau juga akan hadir di mesyuarat berkenaan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.
“Mesyuarat akan diadakan esok, kita akan bincang dahulu sebelum buat sebarang keputusan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Bangunan Wa­kaf Raudhatul Ba­ra­kah, Pondok Beta Hilir di sini hari ini.

Usul menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR diterima sebulat suara oleh para perwakilan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-63 baru-baru ini yang turut menjadikan perhimpunan tahunan itu sebagai medan meluahkan rasa tidak puas hati akar umbi Pas kepada PKR.

Usul tersebut dibentang oleh wakil Dewan Ulama Pas Pusat, Zulkifli Ismail yang menyatakan pengkhianatan PKR kepada Pas sebagai sebab utama.

Antaranya adalah pembabitan PKR bersama calon PAN dan menentang Pas dalam dua pilihan raya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar selain tidak menyokong usaha Pas memperkasakan mahkamah syariah melalui pindaan Akta 355.

Perwakilan semasa Muktamar Tahunan Pas itu juga melahirkan rasa kemarahan mereka dengan tindakan beberapa pemimpin PKR yang lantang mengkritik dan merendahkan kredibiliti pemimpin Pas.

Dalam perkembangan berkait­an, Ahmad berpendirian bahawa barisan Exco Pas tidak perlu berundur daripada Kerajaan PKR Se­langor kerana kedudukan me­reka di situ adalah kerana sokongan rakyat.

“Mereka dipilih oleh rakyat dan dilantik ke jawatan itu atas perkenan Sultan Selangor, jika masih lagi diperkenan Sultan maka teruskanlah tanggungjawab,” katanya.

- Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top