.... Haramkan Penjualan Rokok Dalam TN50 - Khairy | AAKJ



Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50), rancangan 3 dekad pentadbiran Najib ke arah negara maju, akan turut mengambil kira cadangan mengharamkan penjualan rokok, kata Khairy Jamaluddin.

“Ia (mengharamkan rokok) akan menjadi suatu perkara besar yang akan dimuatkan dalam laporan TN50, untuk tidak lagi menjual rokok di Malaysia,” kata menteri belia dan sukan itu dalam program dialog terkini mengenai TN50 malam tadi.

Khairy yang juga ketua Pemuda Umno berkata kebanyakan anak muda yang beliau temui dalam acara dialog bersetuju sekiranya negara mengharamkan rokok.

“Bila saya tanya orang muda, pada tahun 2050, adakah mereka setuju sekiranya rokok diharamkan, sambutannya adalah ‘ya’ dan menggalakkan.”

Cukai daripada jualan rokok merupakan antara sumber kewangan terbesar kerajaan, dan pada 2014, Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengumpul cukai sebanyak RM3.62 bilion, iaitu sumbangan cukai kedua terbesar.

Bagaimanapun, pendapatan itu terjejas ekoran peningkatan jualan rokok seludup. Kerajaan dilaporkan kehilangan hasil cukai rokok sejumlah RM4 bilion pada 2015 dengan hampir 40% pasaran rokok dikuasai rokok seludup.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya bercadang meningkatkan harga rokok kepada RM21.50 sepeket. Sekotak rokok yang paling tinggi harganya ialah RM17.

Hilmi turut bercadang menaikkan had umur pembeli rokok daripada 18 tahun kepada 21 tahun.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganggarkan 100,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun disebabkan penyakit berkaitan tabiat merokok, dengan jumlah perokok muda khususnya remaja meningkat setiap tahun.

Statistik KKM juga mendapati rakyat Malaysia menghisap sejumlah 23.7 bilion batang rokok pada 2015, peningkatan besar daripada 18 bilion batang rokok pada 1998.

Pelbagai kempen untuk mengikis tabiat merokok masih gagal mengurangkan bilangan perokok.

Ia termasuk Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang pada 1995 mengisytiharkan tabiat merokok adalah haram.

Kerajaan juga menambah bilangan zon larangan merokok yang termaktub dalam Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, Akta Makanan 1983 (Akta 324) dan menubuhkan Klinik Berhenti Merokok.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top