.... Forex: Kit Siang Enggan Jawab Libatkan Dr. M | AAKJ





Penasihat DAP, Lim Kit Siang enggan menjawab pertanyaan berhubung pengliba­ tan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam siasatan skandal kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) me­lalui aktiviti spekulasi mata wang asing pada tahun 1990-an.

Tindakannya itu sekali gus menjawab telahan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang mendakwa Kit Siang tidak akan memberi maklumat berkaitan bekas Perdana Menteri itu dalam siasatan mengenai kes tersebut.

Sebaliknya, peguam, Ramkarpal Singh yang berada bersama­nya ketika ditemui selepas memberi kete­rangan hampir 40 minit kepada Pasukan Petugas Khas siasatan kerugian BNM dan menjawab bagi pihak Kit Siang berkata, isu (penglibatan Dr. Mahathir) itu tidak timbul.

Sementara itu, menurut Kit Siang, keterangan yang diberikan hari ini adalah berhubung maklumat awam mengenai kerugian BNM yang melibatkan aktiviti spekulasi mata wang asing sekitar tahun 1990-an ketika sidang Dewan Rakyat tahun 1993 dan 1994.

“Pasukan Petugas Khas hanya menyoal beberapa soalan berhubung isu tersebut dan saya ha­nya memberikan kenyataan saya semasa sidang Dewan Rakyat pada tahun 1993 dan 1994 sahaja.

“Saya tetap dengan pendirian sejak dahulu bahawa perlu ada suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat kerugian BNM berjumlah RM30 bilion dan bagaimana BNM boleh menanggung kerugian yang amat besar itu,” katanya kepada pemberita sejurus keluar dari bangunan Kementerian Kewangan di sini.

Beliau seterusnya mendakwa Pasukan Petugas Khas membuat keputusan salah dalam memang­gil individu bagi memberi kete­rangan berhubung isu tersebut.

Dakwanya, pasukan tersebut seharusnya memanggil beberapa individu seperti Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Mustapa Mohamad dan Datuk Othman Abdul yang ketika itu menjawat jawatan penting dalam kerajaan.

Pada 26 Januari lalu, bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid mendedahkan BNM mencatatkan kerugian sebanyak RM44 bilion melalui aktiviti spekulasi mata wang asing sepanjang 1992 hingga 1993 dan ia jauh lebih besar daripada Laporan Tahunan BNM 1994 yang hanya mencatatkan kerugian sebanyak RM9 bilion.

Pada 15 Februari lalu, Kabinet bersetuju untuk penubuhan sebuah pasukan petugas khas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan bagi menjalankan siasatan kerugian BNM berkenaan.

-Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top