.... Exco PAS Selangor Tidak Akan Dipecat | AAKJ





PAS Selangor menolak dakwaan bahawa tiga exconya akan dipecat daripada barisan pentadbiran Kerajaan Selangor, susulan keputusan Majlis Syura Ulama parti itu menamatkan hubungan politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi ketika dihubungi berkata kedudukan tiga exco PAS itu tetap dikekalkan sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, sepertimana yang dinyatakan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini.

“Tidak timbul isu (pecat) ini…dalam pertemuan dengan menteri besar semalam pun, (Mohamed) Azmin tidak mengeluarkan kenyataan untuk memecat mahupun meminta exco PAS untuk melepaskan jawatan mereka masing-masing.

“Ini hanyalah andaian dan khabar angin pihak luar sahaja, kita berpendirian untuk kekal kerana ia adalah mandat yang diberi oleh rakyat pada pilihan raya umum (PRU) yang lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pelbagai pihak serta laporan beberapa media hari ini bahawa menteri besar dijangka memecat kesemua exco PAS tersebut, selepas Muktamar PAS ke-63 bulan lepas meluluskan usul supaya kerjasama politik antara kedua-dua parti itu ditamatkan kerana PKR tidak menghormati PAS sebagai rakan sekutu mereka.

Sementara itu, Datuk Dr Ahmad Yunus yang menyandang portfolio Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi dalam barisan exco kerajaan negeri turut menafikan dakwaan isu pemecatan itu.

“Tiada kenyataan yang keluar dari mulut menteri besar sendiri berhubung isu pemecatan itu. Sebab itu, saya terkejut bila isu ini keluar dalam beberapa laporan media hari ini…kita sendiri tidak tahu siapa yang mencipta isu ini.

“Mesej menteri besar yang terkini kepada saya adalah beliau kata akan letak kita (exco PAS) dalam Kabinetnya,” katanya.

Kerajaan Selangor yang dipimpin Mohamed Azmin mempunyai komposisi exco yang sama bilangan iaitu masing-masing tiga orang terdiri keanggotaan daripada PKR, DAP dan PAS.

Selain Ahmad Yunus, dua lagi exco PAS ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar serta Zaidy Abdul Talib yang menyandang Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani.

- Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top