.... Exco PAS Bakal Dipecat Malam Ini? | AAKJ





Tiga Exco Pas dalam pentadbiran Selangor dijangka dipecat malam esok apabila Biro Politik PKR bakal bermesyuarat dengan persoalan mengenai kedudukan wakil Pas itu akan dibentangkan sendiri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.


Tambah menguatkan keyakinan itu apabila Pengerusi Biro Pekerja PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid memberikan baya­ngan bahawa akan ada keputusan malam esok, kerana adalah memalukan untuk Pas kekal dalam pentadbiran negeri selepas parti berkenaan memilih ‘bercerai’.

“Keputusan mesti dibuat ma­lam esok. Takkan orang bercerai masih nak duduk sebilik? Mema­lukan. Mana perginya prinsip Pas? Bukan kami (PKR) yang ceraikan kamu (Pas), kamu yang ceraikan kami tetapi selepas bercerai masih lagi nak tinggal bersama?


“Tak payahlah guna alasan mandat rakyat dan heret istana dalam soal ini. Soal pentadbiran negeri ini kuasa Menteri Besar,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas me­ngenai kemungkinan keputusan untuk memecat Exco Pas dibuat malam esok.

Majlis Syura Ulama Pas Khamis lalu mengambil ketetapan memutuskan hubungan dengan PKR berkuat kuasa serta-merta selepas menyifatkan PKR meng­khianati tahaluf siyasi yang dibentuk sejak 2008.

Ekoran itu Mohamed Azmin pada Jumaat bertindak memang­gil semua tiga Exco Pas iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr. Yunus Hairi serta Zaidy Abdul Talib dan beliau difahamkan te­lah mengarahkan mereka mele­takkan jawatan tetapi perkara itu dinafikan pemimpin Pas.

Bagaimanapun semalam, Pas Pusat menerusi Mursyidul Am, Hashim Jasin dan Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan bertegas bahawa ketiga-tiga Exco terbabit tidak perlu mele­takkan jawatan selagi tiada titah daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ditanya langkah Pas menghe­ret istana dalam isu tersebut, Abdullah Sani dalam nada sinis berkata, parti berkenaan sudah tiada modal untuk dijadikan alasan sehingga terpaksa menjual nama Sultan Selangor bagi mempertahankan sikap pemimpinnya yang tamakkan jawatan.

“Alasan ini teramat remeh ke­rana semua orang tahu, Menteri Besar yang berkuasa mencadang atau melantik mana-mana pihak yang difikirkan layak untuk membentuk barisan Exco pentadbiran negeri, pihak Istana hanya meluluskan sahaja,” katanya.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top