.... Doa Presiden UMNO | AAKJ



Bismillahir rahmanir rahim. Alhamdulillahi rabbil a’lamin wa bihi nastai’n,

Allahumma solli ala Saidina Muhammad wa ala a’li Saidina Muhammad.

Ya Allah yang Maha Berkuasa, bersempena malam pertengahan bulan Syaaban yang penuh kemuliaan ini, kami hamba-hamba-Mu menadah dan merafak tangan kepada-Mu jua, agar Dikau selamatkanlah, rahmatilah, berkatilah, bangsa yang bertuah ini.

Wahai Tuhan Yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani, pada malam yang penuh syahdu ini, kami beramai-ramai merintih dan merayu, agar Dikau lindungilah perjuangan parti UMNO yang keramat lagi berjasa kepada tanah air yang tercinta ini, bersama-sama dengan sahabat-sahabat kami, daripada seluruh komponen Barisan Nasional, demi memakmurkan Malaysia, Bahtera Merdeka ini.

Sesungguhnya Ya Allah, Tuhan Maha Pencipta dan Maha Tahu, di manalah lagi kami ingin berbudi, berbakti dan berkorban, kalau bukan kepada bangsa Melayu bumiputera serta tanah tumpah kami sendiri.

Maka, duhai Yang Maha Perkasa, Dikau kurniakanlah keinsafan kepada kami, seluruh ahli parti UMNO, supaya sentiasa beringat-ingat, jika kami lalai dalam medan perjuangan ini, andai kami alpa terhadap tanggungjawab dan amanah yang digalas atas nama bangsa dan negara, pastinya satu hari nanti, segalanya akan musnah, semuanya pasti rosak binasa, dan setiapnya tidak berguna lagi.

Ketika itu kelak, segala kesal tidak bererti, tangisan air mata darah sekalipun tak mungkin mampu menjadi galang ganti, hancur lumatlah jiwa dan nurani, seraya tamatlah riwayat Melayu sejati, nobat dan nafiri pun sudah tidak berbunyi lagi.

Kerana itulah, kami bimbang wahai Tuhan, kami bimbang jika itu semua berlaku, nan di mana kami nak membawa diri, ke mana pula perginya hati, di manalah jua hilangnya rasa.

Alangkah berhiba-hiba, sedih dan menyayat rasa di sanubari apabila Melayu menjadi yatim dan piatu. Mengemis, melarat, merempat hatta terbangsat di tanah sendiri.

Kepada siapalah akan umat Melayu ingin berteduh, mengadu dan bermanja, lantaran itu, janganlah sampai hendaknya, bangsa yang gemilang ini tersungkur rebah umpama melukut di tepi gantang, mengharap ihsan dari orang.

Dari itu juga, Ya Tuhan Maha Pencipta, seandainya Dikau tidak memberi perlindungan dan merahmati dengan pertolongan-Mu terhadap perjuangan UMNO ini, agar kami dapat menentang para petualang serta pendurjana bangsa dan negara,demi membela untung nasib bangsa ini.

Justeru wahai Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, biarpun burung-burung berhenti bersiulan, sekalipun bumi kontang tidak menghijau lagi, hatta alam sekeliling jadi membisu, kami akan terus memohon serta mengadu pada ihsan-Mu, barang dijauhkanlah nasib buruk dan petaka itu, daripada menimpa umat Melayu ini.

Kasihanilah kami Ya Allah, kasihanilah UMNO dan kasihanilah bangsa ini Ya Allah. Dikau payungilah umat Melayu dan UMNO ini.

Demi bangsa, demi perjuangan UMNO, dan demi kesatuan ummah.

Satukanlah juga hati-hati kami dalam setia dan ketaatan.

Kerana kami bersumpah dan berjanji Ya Allah, pada malam yang barakah ini, bahawasanya, dengan keredaan-Mu, kami bertekad untuk terus berjuang jiwa dan raga, bermati-matian demi Bangsa Melayu! Agama Islam dan nusanya! Walaupun nyawa kami ditukar ganti.

Akhirul doa, datangkanlah bahagia, hindarkanlah derita. Sesungguhnya tiadalah lagi sebaik-baik pengharapan, melainkan segala urusan kami persembah dan perserahkan kembali kepada-Mu jua.

Kabulkanlah ya Allah,

Kabulkanlah ya Allah,

Perkenankanlah doa kami ya Allah

Amin. Allahumma amin.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top