.... Calon PM Pembangkang: PAN Tolak Anwar Ibrahim | AAKJ





Kecelaruan dalam Pakatan Harapan diketuai DAP mengenai siapa bakal calon Perdana Menteri sekiranya blok tersebut memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) terus terserlah apabila PAN pula menegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan pilihan rasmi.


Ahli Jawatankuasa PAN Pusat, Ir. Izham Hashim berkata, langkah memilih Anwar hanya ketetapan di peringkat dalaman PKR dan tidak melibatkan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan sama ada PAN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahupun DAP sendiri.

Katanya, walaupun PAN menyokong pencalonan Anwar untuk dilantik ke jawatan Perdana Menteri sebelum ini, sokongan itu hanya pada prinsip yang mana perbincangan secara menyeluruh termasuk aspek teknikal perlu dilakukan sebelum ketetapan rasmi pakatan itu diputuskan.


“Sebenarnya isu Anwar sebagai Perdana Menteri masih belum diputuskan secara rasmi oleh kepimpinan Pakatan Harapan. Memanglah kita (PAN) dan DAP sebelum ini menyokong, tetapi itu secara prinsip, bukan sebagai keputusan rasmi.

“Kita kena akui bahawa bukan satu perkara yang mudah untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri secara begitu sahaja walaupun jika Pakatan Harapan menang PRU-14. Ini kerana Anwar ketika ini menjalani hukuman penjara, banyak perkara teknikal perlu diteliti.

“Dalam Pakatan Harapan kita ada ramai yang layak untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Cumanya Anwar dilihat sebagai individu yang memainkan ba­nyak peranan dalam pembentukan pembangkang, namun perbinca­ngan lanjut masih berjalan,” kata­nya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahad lalu, kepimpinan PKR semasa kongres tahunan parti itu memilih Anwar sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Harapan memenangi PRU-14, Namun, ketika kepimpinan pakatan itu berdiri mempamerkan sepanduk tertera nama Anwar, Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mengangkat sepanduk tersebut.

Dalam perkembangan lain, Izham yang juga Pengerusi PAN Selangor turut mengingatkan Pas agar berhati-hati serta memahami apa sebenarnya tanggungjawab mereka sekiranya berkeras mahu terus berada dalam kerajaan negeri Selangor.

“Dalam kerajaan negeri, keputusan dibuat secara konsensus dan adakalanya melibatkan perkara yang rahsia. Jadi, soal bagaimana Pas mahu terlibat dengan wakil PKR dan DAP dalam membuat keputusan, itu harus difikirkan oleh Pas bukan sekadar duduk sebagai ‘individu’ semata-mata,” ujarnya.

- Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top