.... Bedal Sajalah Labu... | AAKJ





Kecelaruan menyelubungi Pakatan Harapan dikepalai DAP dalam menentukan siapa calon Perdana Menteri pilihan mereka begitu mengejutkan.

Ditambah pula dengan kenya­taan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir beberapa hari lalu seolah-olah menjawab mengapa beliau pegang telefon bimbitnya ketika pemimpin pakatan lain memegang plakad “Anwar PM ke-7”: “Tak menang bubuh nama (seperti) seperti syok sendiri.”

Dikatakan persaingan berebut jawatan PM dari pembangkang amat sengit. Selepas Anwar, senarainya berjela sehinggakan Mat Sabu termasuklah Dr. Mahathir pun disebut-sebut.

Ini mengingatkan kita pada adegan-adegan dalam filem arahan Allahyarham P. Ramlee.

Dalam filem Nujum Pak Belalang terbitan tahun 1959 itu, dua pelakonnya, Allahyarham Aziz Sattar (Badan) sedang membahagikan barang rompakan (duit syiling) dengan Allahyarham S.Shamsuddin (Nyawa) dalam gua.

Badan: 1 untuk engkau, 1 untuk aku. 2 untuk engkau, 2 untuk aku. 3 untuk engkau, 3 untuk aku. Lepas tiga berapa??

Nyawa: Hentam sajalah...

Badan: Hentam sajalah untuk engkau, hentam sajalah untuk aku. Lepas hentam sajalah??

Nyawa: Bedal daa...

Badan: Bedal daa untuk engkau. Bedal daa untuk aku. Lepas bedal daa??…

Juga, ingatkah lagi kisah 3 Mac 2009 selepas BN mengambil alih kerajaan negeri Perak apabila pakatan pembangkang DAP, Pas dan PKR mengadakan sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di bawah pokok, kira-kira 100 meter dari Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Maka sekali lagi filem P. Ramlee menjadi rujukan. Memang hebat filem-filem P. Ramlee.

Antaranya filem Laksamana Do Re Mi mengisahkan tiga sahabat menyelamatkan negara Pasir Berdengung yang terpaksa memerintah di bawah pokok. Tetapi sebelum menjadi laksamana, Do Re Mi tinggal di atas pokok, membuat rumah di atas pokok milik orang, bukan di tanah sendiri.

Apabila Do Re Mi berdegil tidak mahu berpindah dari atas pokok itu, pemilik tanah mengancam akan menebang pokok itu dan akhirnya Do Re Mi mengaku kalah dan lari seterusnya menjadi laksamana. Kini Do Re Mi, Nasib Do Re Mi dan Laksamana Do Re Mi sudah pun selesai.

Begitu juga Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, dan Ali Baba Bujang Lapok sudah berakhir. P. Ramlee juga sudah tiada lagi dan apakah versi baru Do Re Mi atau Bujang Lapok akan kembali dalam kamus pembangkang?

Apa agaknya pula nanti tindak tanduk Pakatan Harapan andai 'gigit jari’ kalah PRU-14 selepas mengharungi 'syok sendiri’ seper­ti mana kata Dr. Mahathir.

Benarlah - mesej-mesej yang terkandung dalam filem P. Ramlee tidak luput dek zaman.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top