.... Arahan Wan Azizah, PAS Kelantan Tidak Terkesan | AAKJ





Pentadbiran kerajaan PAS Kelantan tidak akan terjejas walaupun semua ahli PKR yang dilantik secara politik di negeri itu, meletakkan jawatan seperti arahan parti mereka.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata senario politik di Kelantan berbeza dengan Selangor yang mana sebarang keputusan membabitkan tiga EXCO PAS di bawah pentadbiran PKR akan mengubah struktur pentadbiran kerajaan negeri berkenaan.

Bagaimanapun, katanya PAS menghormati ketetapan PKR supaya ahlinya dalam pentadbiran Kelantan meletakkan jawatan dan ia terpulang kepada pertimbangan ahli majlis kerajaan tempatan dari parti itu.

Katanya, setakat ini Kerajaan Kelantan berpendapat mengekalkan lantikan politik daripada PKR bagi meneruskan pentadbiran kerajaan yang kini berjalan seperti biasa.

“Namun terpulang kepada PKR untuk mengekalkan mereka atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Mengulas mengenai kedudukan tiga EXCO PAS di Selangor, Tuan Ibrahim berkata, PAS Selangor akan menunggu apa juga keputusan Sultan Selangor.

PKR malam tadi mengarahkan semua lantikan politik daripada parti itu di bawah pentadbiran Kerajaan Kelantan melepaskan jawatan masing-masing serta-merta.

-Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top