.... Apabila Ahli Pembangkang Keluar Parti, Ada Sesuatu Yang Tidak Kena… | AAKJ






Tindakan anggota pembangkang di daerah ini keluar parti dan menyertai UMNO membuktikan parti pembangkang tidak diyakini bekas anggotanya dalam menggalas tanggungjawab mewakili rakyat dengan baik.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Seri Nasir Sakaran berkata kemasukan anggota pembangkang ke dalam UMNO akan memperkuatkan lagi jentera parti di daerah berkenaan.

“Perkembangan baru mengenai kemasukan mereka (anggota pembangkang) yang begitu ramai ini satu petanda baik dan kita akan bersama bekerja keras untuk memastikan kawasan Semporna sama ada di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, kita akan pertahankan dan menang pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jalinan Bersama Rakyat di Kampung Senallang Lama di sini, hari ini.

Pada program dihadiri kira-kira 600 anggota pembangkang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Warisan Sabah itu, turut diadakan penyerahan borang keahlian kepada UMNO, masing-masing diwakili bekas Timbalan Ketua Cabang PKR Semporna, Tampakan Imam Pihakan dan bekas Ketua Cawangan Kampung Perigi Parti Warisan Sabah, Mohd Ismail Mohd Ariffin.

Dalam pada itu, berdasarkan pertemuan bersama penduduk menerusi jelajah UMNO di Semporna, Nasir berkata rakyat masih menyatakan kesetiaan dan menyedari bahawa tiada parti selain UMNO yang dapat membela nasib rakyat.

“Cuma apa kita dengar di luar sana cerita-cerita yang sengaja dilakukan pihak tertentu menyatakan seolah-olah UMNO Semporna sudah tiada kekuatan adalah tidak benar. Kalau kita sendiri melihat dan tanya kepada rakyat mereka masih menzahirkan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata UMNO akan berusaha menjaga kebajikan semua anggotanya tanpa meminggirkan sesiapa pun di dalam parti termasuk cuba mendekati golongan yang mungkin terasa hati dengan pemimpin sebelum ini.

“… yang berkecil hati hanya sebilangan kecil sahaja, tetapi kita akan cuba dekati mereka dan tanya sebab dan kenapa,” katanya.

Sementara itu, Tampakan berkata kemasukan beliau ke dalam UMNO selepas berjuang bersama PKR lebih dua penggal (10 tahun) didorong kerana perjuangan PKR hari ini tidak lagi menjurus kepada kepentingan rakyat di tambah pula dengan kepincangan pengurusan dalam parti di peringkat pusat, negeri dan daerah.

“Ini menyebabkan kepercayaan kami menurun apabila melihat kepimpinan PKR Sabah sendiri musnah akibat keluarnya pemimpin negeri untuk menubuhkan parti baharu atau masuk parti lain manakala PKR di Semporna pada masa ini ibarat hidup segan mati tak mahu.

“Saya lihat mereka hanya pandai bercakap tentang perpaduan, tetapi merekalah yang mengheret rakyat kepada isu-isu perkauman dan agama… mereka lebih banyak bertelagah daripada memikirkan masalah rakyat sehingga untuk mewujudkan kesatuan pembangkang pun amat sukar, ” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Ismail yang turut menyerahkan borang keahlian UMNO bersama-sama 86 anggota di cawangannya, berkata hanya UMNO yang boleh mentadbir daerah ini dengan baik.

Beliau turut mengesahkan anggota di dua cawangan Parti Warisan Sabah telah keluar parti dan menyertai UMNO kerana sedar dan yakin dengan keupayaan UMNO untuk terus memerintah dan menerajui pembangunan daerah ini.

-Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top