.... Amaran Untuk Muhyiddin, Jangan 'Jual' Nik Aziz | AAKJ





Setelah menolak bergabung dengan puak pembangkang, PAS sering diserang dengan pelbagai cara. Namun bagaimanapun, saban hari semakin menyerlah sifat paranoid puak Pakatan Harapan terhadap parti yang dipimpin Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

Maka timbullah dakwaan dan andaian yang dibuat berdasarkan kepada rasa paranoid itu sehingga menyebabkan mereka dilihat seolah-olah sudah ketandusan modal untuk berpolitik.

Tapi tak sangka pula sifat paranoid itu juga turut berjangkit kepada bekas Timbalan Perdana Menteri yang kini merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini dapat dilihat apabila Pemuda PAS menempelak Muhyiddin supaya jangan ‘jual’ nama bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk menyerang parti itu seperti mana yang dilakukan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Gaya politik seperti itu sudah ketinggalan zaman, politik membantai dan menyondol bagaikan penasaran hanya boleh menikam diri sendiri. Ibarat kata David Teo, “sekali air ombak sampai ke pantai..” (sambungannya tidak sempat diketahui),” kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.

Amaran itu ekoran tindakan Muhyiddin yang memberi respon terhadap kenyataan yang dikeluarkan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin menyatakan PAS akan mewujudkan kesepakatan dengan UMNO dengan persetujuan bahawa kerusi PAS tidak ditandingi oleh UMNO dan begitu juga sebaliknya.

“.. dan ada juga kenyataan yang saya baca mengatakan mungkin dia akan buat keputusan mana kerusi UMNO, PAS tak akan bertanding. Mana kerusi PAS, mereka UMNO tak akan bertanding.

“Jadi bagi kami, baguslah buat begitu, memudahkan kita untuk membezakan PAS ini samada dia ‘third force’ ataupun dia sebenarnya dia masuk bersubahat dengan UMNO.

“Dan kita nak bagi tahu kalau begitu halnya, sokong PAS bermakna sokong UMNO. Mudah untuk kita mengatur strategi..,” kata Muhyiddin yang merujuk kepada Mursyidul Am PAS.

Ahmad Fadhli berkata, bekas timbalan perdana menteri itu tidak sewajarnya melontarkan komen sedemikian.

“Sebagai seorang bekas Timbalan Perdana Menteri, sekalipun diapit oleh pemimpin-pemimpin PAN dan DAP, adalah tidak wajar Muhyidin melontarkan komen demikian.

“Apakah salahnya jika Muhyidin berkata: “saya perlu membuat pengesahan terlebih dahulu adakah benar kenyataan tersebut daripada Mursyidul Am atau sebaliknya sebelum membuat ulasan..”? Tidakkah ia kelihatan lebih berseni dan bertoma’ninah?

“Kita tidak berhasrat untuk mengambil langkah menyerang parti baru ini, namun mengharapkan untuk kita memeluk tubuh di saat PAS diserang adalah sama sekali tidak mungkin,” bidas Ahmad Fadhli.

Ahmad Fadhli berkata, apa yang dimaksudkan Mursyidul Am PAS ialah parti Islam itu boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak yang boleh menerima Islam sebagai agenda perjuangan PAS.

“Ia hanyalah omong-omong kosong pelari kerusi yang melarikan diri setelah tewas di gelanggang parti.

“Saya tertarik untuk menggunakan analogi yang sama yang digunakan oleh Muhyidin apabila melontarkan fatwa bahawa “undi PAS ialah undi UMNO” kerana katanya PAS tidak akan bertanding bersama UMNO di kerusi yang sama.

“Justeru, apabila telah sahih PPBM tidak akan bertanding di kerusi sama yang ditandingi DAP, secara mudahnya menurut sifir tersebut, undi Bersatu bererti undi DAP.

“Saya mengira Muhyidin bahkan Mahathir sekalipun akan bersetuju jika kita menyebut secara jelas dan terang, dengan lidah yang fasih, Undi Bersatu bererti Undi DAP!,” kata Ahmad Fadhli. 

- Utara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top