.... 1MDB: Rafizi ‘Terdedah’ Muhyiddin Penipu | AAKJ





Dalam keghairahan untuk ‘bongkar itu dan bongkar ini, ‘Raja Bongkar’ pembangkang popular, Rafizi Ramli secara tidak sengaja ‘berjaya’ memalukan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula.

Ia terbongkar selepas dakwaan terbaharunya menunjukkan bekas pemimpin UMNO itu pernah menipu mengenai RM42 juta daripada dana rahsia 1MDB konon ‘masuk’ ke akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kenyataan dibuat Ahli Parlimen Pandan itu melalui akaun Facebook miliknya jelas membuktikan dakwaan pembangkang selama ini tidak benar.

Malah tohamahan Rafizi selama ini langsung tidak bersandarkan kepada bukti yang kukuh sebaliknya hanya berdasarkan andaian semata-mata apabila angka dinyatakan juga sentiasa berubah-ubah serta tidak konsisten.

“Dakwaan terbaharu Rafizi jelas bercanggah dengan dakwaan ramai pemimpin pakatan pembangkang, termasuk Pengerusi PPBM sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan presiden partinya, Muhyiddin.

“Mereka sebelum ini mendakwa bahawa sebanyak RM42 juta wang daripada bekas anak syarikat 1MDB iaitu SRC International konon telah dimasukkan secara rahsia ke dalam akaun peribadi Najib.

“Kenyataan Rafizi itu sekali gus mengesahkan kenyataan Najib pada 9 Mac 2016, yang menafikan RM42 juta dari SRC dimasukkan ke dalam akaun peribadinya amat tepat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Puad, susulan penafian yang dibuat Najib, Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali mengambil keputusan bijak untuk tidak membuat pendakwaan kerana siasatan kes ini tidak menemukan sebarang bukti kukuh.

Justeru, dari segi perundangan, dakwaan yang sering ditohmahkan oleh pembangkang untuk mengaitkan Perdana Menteri dengan wang RM42 juta daripada SRC itu juga adalah gagal.

“Dalam kenyataan tersebut, Rafizi menyebut pada 24 Disember 2014, SRC memindahkan RM40 juta ke akaun Gandingan Mentari Sdn. Bhd.

“Pada hari yang sama (24 Disember 2014), Gandingan Mentari Sdn. Bhd. memindahkan RM40 juta ke akaun Ihsan Perdana Sdn. Bhd.

“Pada 29 Disember 2014, sejumlah RM8 juta dipindahkan ke akaun berlainan di dalam Ihsan Perdana Sdn. Bhd.

“Pada 30 Disember 2014, RM8 juta yang dipindahkan ke akaun berlainan telah dipindahkan pula dari Ihsan Perdana Sdn. Bhd. kepada Mail Global Resources (milik Ariffin Ismail Shahul Hameed).

“Kedua-dua di atas menunjukkan bahawa dalam tempoh 3 minggu antara 31 Disember 2014 hingga 20 Januari 2015, Ariffin Ismail telah mengeluarkan secara tunai sejumlah RM42 juta yang berasal dari SRC,” katanya.

Tambah Puad, ia secara jelas Rafizi telah menyebut dan menunjukkan jejakan wang dari SRC kepada Gandingan Mentari seterusnya kepada Ihsan Perdana dan kemudiannya kepada Mail Global Resources.

“Jumlah wang yang didakwa dipindahkan dalam transaksi ini bernilai RM42 juta dan ia diserahkan kepada Ariffin Ismail dalam bentuk cek dan TIDAK dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib,” ujar beliau.

Sebelum ini, Muhyiddin pernah memberi kenyataan kepada media bahawa bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pernah bertanya Najib, tentang isu wang dalam akaun peribadi pemimpin nombor satu negara itu.

Muhyiddin berkata, Abdul Gani konon bertanyakan berhubung pengaliran wang RM42 juta itu dalam dua akaun persendirian yang ada kaitan dengan siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ia berlaku waktu Abdul Gani masih dalam perkhidmatan. Saya diberitahu, Peguam Negara jumpa PM dan maklumkan kepada Najib dalam siasatan dibuat SPRM didapati wang dengan kadar jumlah itu ada dalam akaun PM.

“Saya juga dimaklumkan, apabila perkara itu diberitahu kepada PM, beliau nafikannya dengan memaklumkan tidak ada, sedangkan telah disahkan ada oleh Peguam Negara. Terbukti wang itu ada di situ kerana beliau membelanjakan wang itu,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin mendakwa, Abdul Gani pernah menjelaskan wang bernilai RM42 juta itu disuntik ke akaun persendirian Perdana Menteri melalui dua syarikat seperti dilaporkan, iaitu ada beberapa deposit dibuat ke akaun Najib. – Agensi

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top