.... Wakil Rakyat Bukan Platform Jadi Jutawan | AAKJ




Semua wakil rakyat di negeri ini diingatkan supaya terus melaksanakan tanggungjawab untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing setiap masa.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, dipilih menjadi wakil rakyat bukan bermakna mereka boleh memasang impian untuk menjadi kaya sehingga melupakan tanggungjawab hakiki mereka mencurah keringat untuk rakyat.

“Kalau nak jadi wakil rakyat, kena ada dalam fikiran untuk membantu rakyat setiap masa, setiap waktu dan bukannya nak jadi kaya.

“Niat nak kaya perlu dibuang jauh-jauh kerana ia merosakkan pembangunan yang dirancang,” katanya dalam majlis perjumpaan dengan masyarakat India di Ladang Nova Scotia, dekat sini baru-baru ini.

Majlis itu adalah aktiviti pertama Zambry dalam program Permukiman Menteri Besar di Daerah Hilir Perak.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti, Datuk Seri Dr. Mah Siew Keong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Azhar Jamaluddin; Penasihat Kepada Menteri Besar, Datuk V. Elango dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. A. T. Kumararajah.

Dalam pada itu, Zambry mengingatkan pengundi di Teluk Intan supaya tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan pengundi di Lumut apabila tidak memilih semula Tan Sri Kong Choo Ha yang menjadi menteri ketika Pilihan Raya Umum Ke-13.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top