.... UMNO Pecah Belahkan Umat Islam Benarkan Hadi Bentang RUU355 - Mahathir | AAKJ



Bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad mendakwa Umno memecah belahkan umat Islam di Malaysia dengan membenarkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

“Sebenarnya ini bukan ada kaitan dengan agama Islam. Agama Islam tidak meminta kita buat sesuatu untuk pecah belahkan orang Islam,” katanya kepada media selepas menghadiri satu forum di Shah Alam malam tadi.

“Dalam negara kami yang berbilang kaum, berbilang agama, kita mesti sensitif terhadap agama lain kerana Islam hormati agama lain. Kita tak boleh buat sesuatu yang memaksa orang lain, berasa takut kepada agama Islam,” katanya.

“Ia (Akta 355) nak digunakan untuk politik, politik sebuah parti saja,” tambah Mahathir

Khamis lalu, Dewan Rakyat membenarkan pembentangan usul Hadi mengenai Akta 355, yang bertujuan untuk meningkatkan had hukuman oleh mahkamah syariah, tetapi perbahasan mengenai ditunda ke sidang akan datang, yang bermula pada 24 Julai.

Pakatan Rakyat membidas kerajaan yang didakwanya bermain politik, manakala Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah kehabisan modal berkenaan Akta 355, dan oleh itu beliau akan memanggil pilihan raya umum sebelum sidang Parlimen akan datang.

Mahathir, yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)berharap Najib, yang akan mengetuai BN dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang, akan kehilangan sokongan pengundi.

“Saya harap dia hilang semua undi, pasal dia menipu nak guna agama nak dapat sokongan tapi gagal,” tambahnya.

Dr Mahathir juga berkata beliau secara peribadi menyokong usaha kerajaan untuk meminda Akta Membaharui Undang-Undang (LRA) (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 bagi menghentikan penukaran agama secara unilateral, walaupun partinya belum membuat pendirian berhubung perkara itu. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Dr Mahathir mendakwa negara akan menyaksikan kemajuan yang lebih baik tanpa Peguam Negara sekarang, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

“Kita boleh buat kemajuan lebih baik tanpa peguam negara ini…,” katanya.

Beliau menjawab soalan mengenai pihak berkuasa Swiss melahirkan keyakinan bahawa mereka boleh mencapai kemajuan dengan siasatan terhadap 1MDB tanpa bantuan Malaysia.

Pihak berkuasa Switzerland telah menulis kepada Jabatan Peguam Negara Malaysia bagi Bantuan Perundangan Bersama mengenai kes 1MDB tahun lepas tetapi tidak mendapat respons menggalakkan.

Mahathir percaya perkara itu sepatutnya dibawa ke mahkamah.

“Dia (Apandi) tidak sepatutnya jadi sebagai hakim, dia harus serahkan pada hakim-hakim buat penghakiman,” kata Mahathir.
Beberapa pihak termasuk Majlis Peguam, telah cuba untuk mencabar keengganan Apandi untuk membuat pendakwaan dalam kes itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada hari Selasa menolak rayuan itu.



– M’kini

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top