.... UMNO Belajar Dari Kesilapan Lalu | AAKJ






Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pemimpin UMNO di negeri ini supaya mengeratkan saf dan bersatu padu agar sejarah kekalahan dalam pilihan raya umum oleh dua parti yang pernah mentadbir Sabah iaitu Berjaya serta Pertubuhan Kebangsaan Bersatu Sabah (USNO) tidak berulang.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, kedua-dua parti itu yang kini hanya tinggal sejarah tumpas disebabkan politik dalaman yang rapuh sehingga gagal menjalankan amanah mentadbir kerajaan dengan baik.

Beliau berkata, kegagalan kedua-dua parti itu menyebabkan mereka dihukum oleh rakyat sehingga UMNO dan Barisan Nasional (BN) diberi peluang untuk memerintah.

“Saya harap politik rapuh di negeri ini tidak akan berulang se­perti sejarah kecundangnya Parti Berjaya dan USNO hingga menyebabkan ketidakstabilan di Sabah. Saya yakin kita telah me­lakukan yang terbaik. Saya juga ya­kin de­ngan kepimpinan ne­geri untuk bersama-sama mengukuhkan parti,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UM­NO yang menja­lankan tugas-tugas Tim­­balan Presiden ber­kata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Akademi Pe­ngajian al-Quran Semporna (APAQS) di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Pembantu Menteri Ke­wa­ngan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Datuk Ramlee Marahaban serta Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.

Sementara itu, dalam ucapan­nya, Ahmad Zahid berkata, BN dan UMNO sentiasa membuka pintu kepada mana-mana pe­mimpin yang sebelum ini mening­galkan parti untuk kembali sekiranya mereka telah sedar dengan kesilapan yang dilakukan.

“Kepada mereka yang telah terpijak kulit pisang itu (terjatuh dan beralih arah), jika mahu te­ruskan dengan perjuangan sekarang teruskanlah. Tetapi jangan ada penyesalan dalam diri ekoran penentangan yang tidak memberikan sebarang makna.

“Oleh itu, mana-mana pe­mimpin dan rakyat yang telah terikut-ikut serta terpengaruh, kembalilah bersama-sama jika mereka telah sedar,” katanya.

Mengulas tentang keupayaan BN bertanding di Parlimen Semporna yang merupakan kubu kuat Parti Warisan Sabah (Wari­san) yang dipimpin Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, beliau berkata, rakyat sehingga kini masih menyokong BN kerana apa yang telah dilakukan parti itu.

Tambahnya, keyakinan itu berdasarkan maklum balas dan kajian politik yang dilakukan me­ngenai penerimaan rakyat kawasan ter­sebut terhadap kerajaan selain tidak khuatir dengan dakyah pembangkang yang menyebarkan maklumat-maklumat palsu untuk mengelirukan penduduk.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top