.... Tuduhan Terima Dana 1MDB Disangkal Nasharudin | AAKJ






Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa menegaskan tuduhan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli ko­nonnya beliau mene­rima dana daripada syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai fitnah dan berniat jahat.

Sehubungan itu, beliau yang juga bekas Timbalan Presiden Pas menafikan sekeras-kerasnya pernah mene­rima apa jua bentuk bayaran atau sumbangan daripada sumber-sumber seperti yang dinyatakan Rafizi dalam sidang akhbarnya semalam.

Pada masa sama, tegas Nasha­rudin, beliau kini menye­rahkan kepada pasukan peguam untuk memulakan tindakan undang-undang dan apa jua tindakan yang wajar untuk dilakukan menurut lunas undang-undang ke atas Rafizi.

“Saya menegaskan bahawa se­gala pernyataan Rafizi yang melibatkan saya adalah tidak ada kaitan dengan diri sa­ya malah kenya­taannya itu adalah fitnah dan berniat jahat kepada saya dan Pas.

“Saya bersedia un­tuk bekerjasama da­lam sebarang siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan telah menyerahkan kepada pasukan peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang dan apa jua tindakan yang wajar untuk dilakukan menurut lunas undang-undang,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Isnin lalu, Rafizi mendakwa dana 1MDB yang dikaitkan dengan Pas disalurkan melalui seorang bekas pemimpin kanan parti Islam itu yang dikatakan menjadi jambatan antara UMNO dan Pas.

Selepas didesak banyak pihak, Rafizi semalam akhirnya membuat akuan bersum­pah yang men­dakwa Nasharudin menerima dana daripada bekas anak syarikat 1MDB, iaitu SRC International Sdn. Bhd.

Walau bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya beranggapan dakwaan yang dibuat Rafizi itu hanya berstatus khabar angin selagi tiada pengesahan daripada individu yang dikatakan memberi maklumat kepada Ahli Parlimen Pandan berkenaan.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top