.... Tangkap, Siasat Mahfuz Omar | AAKJ





Pemuda UMNO Kedah hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang menyerbu masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri bagi menyerahkan memorandum bantahan bersama beberapa penduduk sebaik sidang DUN tamat, semalam.

Laporan dibuat Setiausaha Kerja Pemuda UMNO negeri, Mohd. Tahir Md. Zain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini pagi tadi.

Ketua Pemuda Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang turut hadir di perkarangan IPD berkata tindakan Mahfuz yang masuk ke dalam dewan untuk berjumpa dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah itu adalah tindakan yang biadab.

“Tindakan dia (Mahfuz) biadab dan seperti mencari publisiti murahan. Tidak menjadi kesalahan kalau dia tunggu di ruang lobi tetapi tindakannya yang masuk terus ke dalam dewan adalah perkara serius tambahan pula dia bukan anggota Dewan Undangan Negeri jadi dewan itu bukan tempatnya.

Pihak polis perlu siasat dan ambil tindakan segera bagi mengelakkan perkara seperti ini daripada berlaku lagi. Kita bimbang ini akan menjadi amalan pihak tertentu yang sesuka hati melanggar peraturan dan menggunakan dewan bagi mempamerkan kehebatan mereka,” katanya.

Mahfuz hadir bersama-sama 14 penduduk yang membantah tanah mereka di Kampung Baru, Jalan Padang Tembak, Bukit Pinang yang didakwa mahu diambil oleh Permodalan Kedah Berhad bagi tujuan pembinaan rumah kakitangan kerajaan

Shaiful Hazizy berkata pihaknya juga bimbang dengan keselamatan Menteri Besar, Exco negeri dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan tindakan Mahfuz.

“Saya bimbang dengan keselamatan menteri besar… kalau dia (Mahfuz) boleh bawa orang masuk dan serbu dewan serta tarik tangan itu sudah dikira bahaya.

Saya nasihatkan Mahfuz supaya memberi fokus untuk berkhidmat di kawasan sendiri serta lunaskan janji-janjinya di Parlimen Pokok Sena,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, ADUN Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid berkata Mahfuz telah mengambil kesempatan terhadap sikap mesra rakyat Ahmad Bashah merempuh masuk tanpa izin ke ‘rumah’ orang selain bertindak ala samseng.

“Sikap mesra menteri besar telah diambil kesempatan secara kurang wajar oleh Mahfuz. Adab bangsa dan agama kita mengajar supaya mengetuk pintu dan memberi salam sebelum beroleh izin untuk masuk ke rumah orang tetapi dia masuk secara kurang ajar,” katanya.
 
- bicara.news

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top