.... “Tahi Ayam Digempak Tahi Tuan Ayam” – Nik Abduh Bidas Rafizi | AAKJ






Beberapa jam selepas menamakan bekas pemimpin PAS terkait dengan dana 1MDB, Rafizi Ramli didakwa salah seorang pemimpin kanan parti itu sebagai “tidak tahu dosa dan pahala” dan membenarkan kenyataan pemimpinnya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, juga menyatakan naib presiden PKR itu sebagai orang yang suka menyelongkar sehingga menjadikan amalan itu sebagai hobi.

“Betullah kata presiden PAS bahawa (anggota parlimen) Pandan ni tak tahu dosa dan pahala. Suka sangat menyelongkar sampai jadi hobi.

“Tahi ayam pun digempaknya jadi tahi tuan ayam. Memang riuhlah…,” katanya melalui kemas kini status di Facebook petang ini.

Rafizi tengah hari tadi menamakan bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, sebagai individu menerima dana berkaitan 1MDB.

Untuk mengukuhkan pendedahan itu, Rafizi juga membuat akuan berkanun (SD) mengenainya.

Untuk rekod, selain pernah menjadi timbalan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Nasharuddin pernah menjadi anggota parlimen Yan tetapi tewas dalam persaingan mengekalkan jawatannya sebagai orang nombor dua PAS kepada Mohamad Sabu pada 2011.

Nasharuddin kelihatan tersisih daripada arus perdana ekoran isu PAS mahu bekerjasama dengan Umno.

Nik Abduh turut menitipkan nasihat kepada Rafizi.

“Nasihat saya, pandu cermat, jiwa selamat. Tekan minyak, tekan juga brek..” katanya.

Status calon naib presiden PAS pada muktamar parti itu di Alor Setar akhir bulan ini juga membayangkan parti terbabit turut mempunyai banyak maklumat.

Namun, dalam keadaan begitu, kata Nik Abduh, pemimpin PAS berusaha mempraktikkan akhlak mulia bahawa sesuatu yang belum kukuh adalah lebih baik berdiam diri.

“Maka diam adalah senjata disarung dan biarkan ia terlihat.

“Usah gegak mengejar mentari. Sabarkan diri, fajar (akan) menyinsing…” katanya berkias.

Nasharuddin kini adalah Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) tajaan kerajaan dan diilhamkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam SD dibuat Rafizi, anggota parlimen Pandan itu memberitahu, beliau dimaklumkan oleh sumbernya – seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) – seorang pemimpin PAS pernah bertemu untuk mendapatkan pengesahan mengenai pembabitan Najib dalam skandal 1MDB.



-bicara.news

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top