.... Siti Aishah Ikrar Taat Setia Kepada IS, Rancang Ke Syria | AAKJ




Siti Noor Aishah, yang kini di bawah tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma), pernah melafazkan ikrar taat setia kepada pemimpin IS, Abu Bakr al-Baghdadi, lapor akbar New Straits Times (NST) hari ini.
Akhbar itu yang memetik sumber yang rapat dengan operasi pengganas itu sebagai berkata, bekas pelajar sarjana yang berusia 29 tahun itu berbuat demikian melalui aplikasi mesej Telegram yang terdiri daripada ahli-ahli tempatan sel IS.

Menurut laporan itu, pemimpin IS Malaysia di Syria, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, adalah saksi kepada ikrar taat setia Aishah.

"Siasatan kesnya mendapati dia beberapa kali melafazkan ikrar taat setia kepada Abu Bakr al-Baghdadi (kanan) melalui Telegram dengan Wanndy bertindak sebagai saksinya.

"Walaupun ramai mengkritik penahanannya, dan menganggap tindakan polis sebagai salah guna kuasa dan melanggar hak asasi manusia, sumber perisikan polis, bagaimanapun, mendapati cerita yang disiarkan adalah berbeza," kata sumber itu.

Aishah kini berada ditahan di penjara Kajang di bawah Sosma kerana memiliki 12 buah buku yang didakwa berkaitan dengan keganasan.

Menurut laporan NST, Wanndy turut bertindak sebagai orang tengah untuk proses mengangkat sumpah yang dikenali sebagai baiah kepada Abu Bakr.

Proses, yang sebelum ini dijalankan di hadapan pemimpin IS, kini "sah" jika ia dilakukan melalui aplikasi media sosial, kata laporan itu.

Selain melafazkan taat setia kepada Abu Bakr, Aishah juga didakwa sebagai peserta yang aktif dalam kumpulan Telegram tersebut. Dia dikatakan sedang merancang untuk melarikan diri ke Syria untuk berperang bersama IS, dakwa sumber itu lagi.


"Rancangannya gagal berikut penahanannya, selepas bapanya, Atam Jusoh (kiri, berketayap), membuat laporan polis apabila mendapat tahu aktiviti anaknya itu sebelum dia sempat menyertai kumpulan di Syria.

"Ini adalah mengapa pihak berkuasa memasang peranti pengawasan elektronik ... Lembaga Pencegahan Jenayah bersetuju kerana terdapat asas kuat untuk tujuan itu, terutamanya selepas mengambil kira laporan ayahnya," kata sumber itu.

Sumber itu berkata, Aishah juga didakwa merancang untuk mendapatkan kad pengenalan palsu dengan bantuan bekas pensyarah, Dr Mahmud Ahmad yang kini mengetuai militan IS di selatan Filipina, selepas melarikan diri ke sana.

Menurut sumber itu, buku-buku yang menyebabkan Aishah ditahan itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pengajian Usuluddin yang diikutinya di Universiti Malaya.

Sebaliknya, buku-buku dalam simpanannya itu diberikan oleh Najib Hussein (Pengebom IS Malaysia yang mati dibunuh oleh tentera Filipina di Pulau Basilan). Buku itu dikatakan mempromosi ideologi Salafi Jihadi dan mengandungi unsur-unsur yang boleh mencetuskan keganasan.

Aishah pertama kali ditangkap pada Mac tahun lalu di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan dan Sosma kerana memiliki buku-buku berkenaan.

Pada bulan berikutnya, dia minta dibicarakan atas dakwaan memiliki buku-buku berkenaan dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada bulan September tahun lalu membebaskannya daripada tuduhan itu. Namun, pada hari yang sama, dia ditahan semula, di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) yang membenarkan penahanan selama 60 hari.


Selepas dibebaskan daripada Poca, alat peranti pengawasan elektronik dipasang di kakinya dan beliau dikenakan tahanan rumah.

Berikutan penahanannya itu, UM kemudian memecatnya pada Mac tahun lalu.

Pada 30 Mac lalu, bapanya merayu supaya anaknya itu dilepaskan.

Dia mendakwa bahawa pensyarah anaknya itu yang mengarahkan Aishah supaya membaca buku-buku berkenaan sehingga membawa kepada penahanannya.




Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top