.... RUU 355 : PKR Dan PAN Tidak Ada Kuasa | AAKJ






Tindakan beberapa ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan diketuai DAP cuba menghalang pembentangan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 memberikan gambaran jelas bahawa DAP akan menguasai pentadbiran kerajaan sekiranya mereka memenangi pilihan raya umum akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kekecohan sewaktu pembentangan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat Khamis lalu membuktikan bahawa ahli Parlimen dalam Pakatan Harapan termasuk yang beragama Islam dikawal oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

“Semuanya dikawal dengan remote control oleh Kit Siang. Inilah gambaran kalau pembangkang menguasai kerajaan, semua akan dikuasai dan menjadi kuda tunggangan kepada Kit Siang.

“Kita lihat parti-parti lain se­perti PKR dan PAN tidak ada kuasa dalam pakatan itu kerana masih menerima arahan Kit Siang daripada DAP,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Futsal Amal Wanita Muda Parlimen Bera di Dewan Futsal Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Beberapa ahli Parlimen daripada DAP dan PKR dilaporkan seolah-olah cuba menghalang RUU 355 dibentangkan apabila membangkitkan beberapa perkara kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebaik sahaja rang undang-undang itu mahu dibacakan.

Tindakan ahli-ahli Parlimen berkenaan telah melengahkan masa kira-kira 35 minit sebelum Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas dapat membentangkan usul berkenaan atas sifat rang undang-undang persendirian.

‘Gangguan’ itu dimulakan Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah yang mempersoalkan cadangan usul rang undang-undang yang beliau failkan sebelum ini mengenai penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) telah ditolak Dewan Rakyat.

Menurut Ismail Sabri, hakikatnya parti lain dalam Pakatan Harapan selain DAP tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan walaupun dalam perkara yang melibatkan umat Islam.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, mereka hanya menjadi pak turut dan mengikut arahan DAP dalam membuat keputusan demi kepentingan politik.

“Tiada sebab bagi mana-mana pihak khususnya ahli Parlimen beragama Islam untuk menolak RUU 355 yang tidak melibatkan masyarakat bukan Islam.

“Jika semua ahli Parlimen ber­agama Islam bersatu menyokong usaha murni ini, tiada masalah bagi kerajaan untuk meluluskan RUU 355 dalam memperkasakan mahkamah syariah,” katanya.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top