.... Rafizi Hina Mahkamah 
Syariah | AAKJ




Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) hari ini mendesak agar pe­nguat kuasa agama mengambil tindakan menurut Akta Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah (wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 terhadap Naib Pre­siden PKR, Rafizi Ramli berikutan ke­nyataan yang dikeluarkan baru-baru ini sehingga menimbulkan fitnah sekali gus menghina mahkamah syariah.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tindakan tersebut perlu dimajukan kepada Ketua Pendakwa Syarie agar sesuatu tindakan di bawah seksyen 210 akta sama Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah untuk diambil terhadap Ahli Parlimen Pandan tersebut.

“Rafizi mesti bertanggungjawab dengan apa yang diucapkan semasa sidang Parlimen olok-olok itu, walaupun sekadar sidang olok-olok tetapi kenya­taan yang dibuat tidak wajar bersifat sedemikian kerana sangat memberi kesan kepada kedudukan syariah di mata awam.

“Seksyen 210 di atas memperuntukkan bahawa mahkamah hendaklah mempunyai kuasa menghukum mana-mana orang yang melakukan suatu penghinaan mahkamah dengan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 dan Seksyen yang sama juga terdapat di dalam Enakmen Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah di semua negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zainul Rijal berkata demikian sebagai reaksi kepada video ucapan Rafizi yang tular pada 12 April lalu yang me­nyatakan jika Akta 355 dipinda ramai hakim mahkamah syariah di negara ini akan menerima rasuah dan lebih ramai hakim mahkamah syariah ditangkap dan ditahan kerana rasuah berbanding hakim mahkamah sivil.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PPMM sangat kesal dengan kenyataan Rafizi tersebut yang tidak berasas dan tiada statistik yang dikeluarkan bagi menyokong dakwaan tersebut.

“PPMM berpandangan ke­nyataan tersebut telah me­nimbulkan fitnah, keraguan dan memperkecilkan malah menghina mahkamah syariah di negara ini. Memandangkan sebahagian besar ahli PPMM juga adalah peguam syarie makluman mengenai sebarang pendakwaan dan sabitan kesalahan hakim syariah adalah di dalam pengetahuan PPMM,” ujarnya.

Dalam masa sama, PPMM juga mengambil kesempatan untuk menasihatkan agar isu-isu agama tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

“Orang Islam hendaklah bersatu suara di dalam isu-isu agama Islam dan tidak dihambat oleh kepentingan politik semata-mata. Umat Islam arus perdana hari ini sudah jelak dengan sikap pihak tertentu yang mahu mempolitikkan kepentingan masing-masing walaupun melibatkan isu agama,” katanya.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top