.... PRU-14: Pas Tanding 80 Kerusi Parlimen | AAKJ






Pas menya­sarkan untuk bertanding tidak kurang daripada 80 kerusi Parlimen di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, bagi kerusi di kawasan Wilayah Persekutuan, Pas menyasarkan untuk bertanding di tujuh kawasan iaitu Titiwang­sa, Putrajaya, Labuan, Bandar Tun Razak, Wangsa Maju, Setia­wangsa dan Lembah Pantai.

Selain itu, katanya, Pas turut mempertimbangkan hasrat untuk bertanding di dua lagi kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan iaitu Batu dan Segambut.

“Ini semua (jumlah kerusi bakal ditandingi) masih belum dimuktamadkan. Keputusan ini tertakluk kepada perbincangan parti nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas me­rasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan kali ke-32 di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Mohd. Nor Mohamad dan Ketua Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Khairil Nizam Khirudin.

Dalam pada itu, ditanya me­ngenai kemungkinan berlakunya pertembungan tiga penjuru, Idris berkata, keputusan akhir bergantung pada hari penamaan calon dan perbincangan yang dilakukan oleh pimpinan Pas Pusat.

Menyentuh mengenai cada­ngan ahli akar umbi Pas yang mahu tahaluf siyasi bersama PKR diputuskan, Idris berkata, pihaknya memberi kebebasan kepada perwakilan untuk membawa usul tersebut dalam muktamar sebelum dinilai semula oleh pimpinan atasan Pas.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top