.... Projek Tambak Laut Melibatkan Individu Misteri? | AAKJ






Kerajaan DAP Pulau Pinang didesak supaya mengemukakan semua kontrak persetujuan dengan syarikat SRS Konsortium secara tanpa syarat.

Naib Pengerusi Gerakan ne­geri, Oh Tong Keong berkata, tindakan berkenaan perlu dilakukan kerana permohonan yang dibuat oleh ahli parti itu sebelum ini untuk mendapatkan maklumat tentang keluasan sebenar kawasan laut yang akan ditambak di bahagian selatan negeri ini telah ditolak oleh kerajaan negeri.

Dalam soal ini, Tong Keong berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang bersikap angkuh dan enggan mendengar suara rakyat ne­geri ini yang ingin tahu mengenai perkembangan projek berkenaan.

“Sebelum ini, Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook pernah mengatakan bahawa sese­orang itu tidak perlu gentar de­n­gan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 sekiranya tidak pernah melakukan kesalahan.

“Atas prinsip berkenaan, kerajaan negeri tidak perlu gentar untuk kemukakan dokumen yang diminta sekiranya tidak ada kesalahan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Gerakan negeri, Jason Loo meluahkan kekecewaan apabila permohonan beliau untuk mendapatkan beberapa dokumen membabitkan projek tambak laut di negeri ini ditolak oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang walaupun perkara berkenaan dibenarkan menerusi polisi Kebebasan Maklumat negeri (FOC) yang diper­kenalkan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut Tong Keong berkata, beliau telah beberapa kali membangkitkan isu laporan bertindih membabitkan projek tambak laut di sekitar Persiaran Gurney kerana berasa sangsi berhubung penglibatan beberapa individu misteri yang berada di belakang tabir dalam projek ber­kenaan.

Menurutnya, disebabkan wujud beberapa perkara meragukan, pihaknya mengesyaki Kerajaan DAP Pulau Pinang ‘tidak berani’ untuk mengemukakan kepada rakyat negeri ini tentang kandungan kontrak bagi projek penambakan laut di kawasan berkenaan dan Seri Tanjung Pinang 1 (STP1) dan Seri Tanjung Pinang 2 (STP2) sehingga hari ini.

“Oleh itu, saya beranggapan bahawa projek tambak laut di bahagian selatan negeri ini juga melibatkan individu-individu yang masih tidak dikenali identitinya sehingga menyebabkan kerajaan negeri tidak mampu mengemukakan perincian berhubung perkara ini.

“Lebih membimbangkan, pada peringkat awal projek dimaklumkan sebanyak 4,000 ekar tanah akan ditambak namun berubah menjadi 4,500 ekar pada 2015,” ujarnya.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top