Tindakan kelompok ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) termasuk dalam kalangan pengasasnya keluar daripada parti itu merupakan petunjuk awal pergerakan politik tersebut sedang mengalami keretakan dalaman dan menunggu masa untuk dibubarkan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainal Abidin juga percaya ada beberapa pemimpin PPBM di beberapa kawasan di Kedah sedang mengalami masalah serupa, retak menunggu belah.
Beliau juga mengibaratkan PPBM ketika ini sebagai bahtera yang sedang bocor dan menunggu masa karam akibat pertelagahan nakhoda.
Berikutan itu, Shaiful Hazizy menyarankan ahli-ahli UMNO yang ketika ini bersama PPBM segera mencari bahtera baharu yang lebih kukuh dan stabil iaitu dengan pulang semula ke pangkuan parti keramat itu.
“Ahli PPBM adalah ahli UMNO yang kecewa dan serpihan individu kalah dalam pemilihan di peringkat parti. Ini adalah soal jati diri yang lemah dan prinsip goyah sehingga membawa penghijrahan beramai-ramai.
“Oleh demikian, Pemuda UMNO Kedah menyeru bekas ahli UMNO yang menyertai PPBM untuk kembali segera ke pangkal jalan. UMNO sebagai sebuah parti yang ‘pemaaf’ dan progresif boleh menerima kembali ahli-ahlinya yang telah tersilap langkah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas mengenai punca keretakan dalaman yang sedang dialami PPBM ketika ini, Shaiful Hazizy percaya fenomena itu disebabkan oleh tiga faktor utama.
Pertamanya kata Shaiful Hazizy ialah disebabkan kepemimpinan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak diyakini oleh akar umbi parti itu yang lebih melihat kepada aura dan legasi Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Keduanya ialah faktor kemahiran berpolitik pimpinan PPBM. Sebagai contoh, ketika kedua-dua pucuk pimpinan utama PPBM masih berada dalam UMNO, kedua-duanya diangkat sebagai pemimpin parti atas dasar ‘gelombang’, bukannya kemahiran mengemudi parti atau berpolitik,” jelas beliau.
Faktor ketiga jelas Shaiful Hazizy disebabkan struktur ahli PPBM yang lemah dan kurang sambutan dengan parti itu sehingga kini belum mengisytiharkan jumlah sebenar keahlian mereka di Kedah, memberi gambaran keanggotaannya tidak sebanyak diuar-uarkan.
-UM
Post a Comment Facebook Blogger
Note: only a member of this blog may post a comment.