.... Pesawat MAB Bakal Ada Ruang Solat, Wuduk | AAKJ



Malaysia Airlines Berhad (MAB) dijangka menyediakan beberapa buah pesawat yang diubah suai khas untuk umat Islam yang pergi menunaikan ibadah umrah ke Tanah Suci.

Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Peter Bellew menerusi wawancara dalam program CNN Money terbitan stesen CNN mendedahkan bahawa enam pesawat Airbus A380 telah pun diubah suai termasuk ada ruang solat dan bilik wuduk.

Ketika menceritakan perincian rancangannya itu, beliau malah menjelaskan pihak MAB bersedia menawarkan banyak pesawat khas untuk keperluan umat Islam selesa pergi ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah setiap hari.

“Saya rasa ini akan menjadi satu titik perubahan besar dalam sejarah industri pengangkutan udara dan mungkin juga dunia perniagaan antarabangsa sendiri,” menurut Bellew yang mengambil alih jawatan pada 1 Julai 2016.

Beliau menambah, untuk tujuan itu, sebuah syarikat penerbangan baharu khusus dalam operasi haji dan umrah dikenali sebagai Project Hope, bakal ditubuhkan MAB dengan permulaan memiliki enam pesawat Airbus A380.

Jet jumbo komersial terbesar dunia itu ujarnya akan dapat menampung sehingga 715 penumpang, berbanding kapasiti biasa iaitu 525 bagi pesawat dengan tiga kelas atau 853 bagi pesawat dengan semua kelas ekonomi sahaja.

“Kami sedang mencuba untuk merebut lima hingga enam peratus pasaran global, yang sentiasa berkembang,” kata Bellew yang pernah berkhidmat sebagai eksekutif syarikat penerbangan tambang rendah terkenal Ireland, Ryanair.

“Para jemaah biasanya sanggup menabung hingga 30 tahun untuk ke Tanah Suci dan kami berminat menembusi pasaran itu. Di Malaysia, kebanyakan menyimpan untuk menunaikan umrah menerusi Lembaga Tabung Haji.

“Namun, berbeza dengan ibadah haji, jemaah perlu mematuhi kuota yang ditetapkan oleh Arab Saudi. Penantiannya boleh memakan masa puluhan tahun sebelum mereka akhirnya dapat menjejakkan kaki ke sana,” jelas beliau.

Pada bulan lalu, Bellew memaklumkan pihak MAB dalam perancangan untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan baharu khusus bagi pasaran haji dan umrah yang boleh disewa khas umat Islam dari seluruh dunia.



“Sesi temu bual bagi jawatan utama dalam syarikat ini sudahpun dimulakan dengan rancangan untuk menyediakan sebuah pesawat Airbus yang boleh menampung sehingga 720 penumpang,” beliau memberitahu Bernama.

Apa yang menarik adalah ia mewujudkan kira-kira 700 peluang pekerjaan baharu bagi rakyat Malaysia kerana MAB memerlukan ramai juruterbang, anak kapal dan jurutera selain mewujudkan tambahan peluang sampingan lain.

Sebelum ini usaha MAB untuk menjual pesawat superjumbo itu tidak berhasil. Langkah membuka operasi khas haji dan umrah itu sekali gus memberi lebih imej Islamik selaras dengan Islam sebagai agama persekutuan di Malaysia.

Pengkritik menyifatkan usaha terbaharu ini ekoran pandangan umat Islam yang mendakwa dua tragedi menimpa MAB pada 2014 melibatkan MH370 dan MH17 sebagai peringatan Allah SWT ke atas syarikat itu agar patuh syariah.

Susulan itu, pihak MAB dilaporkan mahu mengkaji semula hidangan arak dalam pesawat selain pakaian pramugari bagi bersaing dengan tiga syarikat udara patuh syariah di dunia iaitu Saudi Airlines, Iran Air dan Royal Brunei.

Mengulas lanjut, Bellew berkata MAB sedang berbincang kemungkinan memeterai perjanjian dengan beberapa agensi pelancongan bagi menyewa pesawat dan petugas MAB untuk membawa jemaah ibadah haji serta umrah.

MAB kini mencatat prestasi yang lebih baik pada suku keempat tahun lalu didorong oleh jumlah tempahan amat tinggi serta juga tumpuan lebih khusus terhadap penumpang premium kelas bisnes dan tambang ekonomi.

Apabila ditanya kenapa perlu menubuhkan syarikat khusus bagi penerbangan sedemikian, Bellew berkata: “Di seluruh dunia sekarang, banyak orang mengerjakan haji dan umrah menaiki pesawat berusia 15 hingga 20 tahun.”

Beliau berkata pihak Arab Saudi bahkan gembira melihat MAB menyediakan pesawat baharu A380 yang boleh mengangkut ramai jemaah dengan selesa pada kos rendah secara lebih praktikal. – Agensi

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top