.... PAS Terima Dana 1MDB, Takiyuddin Sangkal Dakwaan Rafizi | AAKJ






Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menafikan dakwaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa terdapat individu yang rapat dengan parti Islam itu menerima dana bersumberkan 1MDB.

Malah, tegas Takiyuddin, sekiranya ada mana-mana dana-dana luar yang disalurkan kepada parti itu sudah tentu beliau mengetahuinya.

“Setakat yang saya tahu kita (PAS) tidak ada menerima apa-apa dana daripada mana-mana, kalau ada saya sebagai setiausaha agung mesti tahu.

“Saya tak ada maklumat dan tak ada apa-apa pengetahuan langsung (mengenai dana 1MDB),” kata Takiyuddin.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Rafizi yang juga anggota parlimen Pandan hari ini bahawa PAS menerima dana 1MDB.

Malah, dakwa naib presiden PKR itu, wang itu mengalir daripada akaun bank Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib telah menafikan menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.

PAS pula telah mengancam menyaman bekas naib presidennya Datuk Husam Musa yang tampil dengan dakwaan hampir sama.

Sementara itu, Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Baru berkata, Rafizi tidak perlu membuat cabaran tersebut.

Sebaliknya, kata Takiyuddin, lebih baik untuk beliau membuat laporan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Rafizi tak perlu cabar, jalan terbaik adalah beliau membuat laporan kepada SPRM dan serahkan bukti itu untuk disiasat,” kata Takiyuddin.

Diminta mengulas apakah PAS akan mendedahkan perkara tersebut jika mempunyai maklumat, Takiyuddin berkata beliau akan menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

“Kalau kita ada maklumat kita akan siasatlah dan kalau ada kes kita akan serah kepada pihak berkuasa,” kata Takiyuddin.

Ditanya apakah motif di sebalik tindakan Rafizi itu, Takiyuddin berkata beliau juga tidak jelas berkaitan perkara itu.

“Saya pun tak faham (motif Rafizi) tapi saya rasa Rafizi bukan jenis begitu, saya pun terkejut juga.

“Saya tak dengar dari mulut dia sendiri dia cakap bagaimana. Jadi, saya tak dengar, nak tengok dia cabar macam mana dan saya tak boleh nak komen lebih tapi secara umumnya begitulah,” tambah Takiyuddin.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top