.... PAS Bertanding 45 Dari 56 Kerusi Di Selangor | AAKJ




PAS bersedia bertanding di 45 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 daripada 22 kerusi di Selangor, jika tiada persetujuan pembahagian kerusi dicapai.

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad berkata keputusan itu akan dibuat berdasarkan perkembangan semasa, jika mereka tidak lagi terikat dengan perjanjian pada 2013 semasa bersama Pakatan Harapan.

“…ia akan jadi free for all (jika tiada persetujuan) dan kita telah hantar calon-calon kepada PAS Pusat untuk dipertimbangkan,” katanya.

Bercakap dalam dalam sidang media sempena Ijtimak PAS Selangor di Kuala Kubu Baru hari ini, Iskandar berkata, pihaknya telah memutuskan nama calon di lebih 20 kerusi DUN dan lapan parlimen di Selangor.

PAS masih bergabung bersama PKR dan DAP dalam kerajaan negeri walaupun kerjasama bersama Pakatan Rakyat sebelum ini telah berakhir.

Beberapa pemimpin PKR dan PPBM bagaimanapun masih mahu PAS dilibatkan dalam rundingan kerusi bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru yang dilihat bakal menguntungkan BN.

Secara keseluruhan DUN Selangor mengandungi 56 kerusi manakala di peringkat parlimen ada 22.

Langkah PAS Selangor itu seiring dengan tindakan pasukan mereka di Perak dan Pahang.

PAS Pahang dilaporkan sudah merangka pelan tersendiri dengan meletakkan calon di sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN dan 10 kerusi parlimen.

Di PAS Perak, pesuruhjaya, Razman Zakaria pula berkata PAS negeri itu akan meletakkan calon di 30 daripada 59 kerusi DUN Perak dan berdoa supaya Umno tidak meletakkan calon mereka di situ.

Untuk rekod, selain Kelantan PAS pernah memerintah di Terengganu antara Disember 1999 hingga Mac 2004.

Bagaimanapun, pentadbiran diketuai Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu hanya bertahan selama sepenggal.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top