.... Kit Siang Semakin ‘Menggila’, Kelam Kabut | AAKJ





Lim Kit Siang nampaknya semakin ‘menggila’ dan tidak tentu arah apabila sanggup menggelarkan diri sendiri sebagai patriot yang membawa maksud seorang yang sanggup mempertahankan tanah air, sedangkan beliau dilihat seringkali merendah-rendahkan pencapaian negara.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (gambar) berkata, pengakuan yang tidak berasas itu dibuat memandangkan beliau sedang terdesak untuk menutup imejnya yang merupakan seorang diktator politik.

Katanya, disebabkan agenda politik yang berkepentingan membuatkan Penasihat DAP itu hilang pertimbangan sehingga tidak mampu memahami maksud sebenar patriot.

“Macam mana seseorang itu boleh mengakui diri sendiri sebagai patriotik. Label sebegitu diberikan oleh orang lain, bukannya diri sendiri.

“Beliau kini semakin tidak betul kerana sedang diasak pelbagai pihak termasuk oleh partinya sendiri secara dalaman. Kit Siang bukan hendak selamatkan Malaysia, tetapi lebih mahu menyelamatkan anaknya, Lim Guan Eng,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kit Siang semalam mengakui dirinya sebagai seorang patriot kononnya untuk menyelamatkan Malaysia daripada situasi politik yang tidak betul. Jelas Tunku Abdul Aziz, perkembangan terbaharu itu menunjukkan kepada orang ramai betapa liciknya Kit Siang dalam merencanakan agenda politiknya.

“Tidak ada orang boleh percaya Kit Siang lagi. Dulu apa sahaja yang dia cakap walaupun tidak betul, orang percaya. Sekarang tidak lagi, apa yang keluar dari mulutnya adalah mengarut,” katanya.

Jelasnya lagi, seseorang yang patriot adalah individu yang sering mempertahankan negara dengan ciri-ciri kesetiaan yang tinggi dan sifat itu tiada dalam diri Kit Siang.

“Beliau ini tidak pernah hilang idea untuk meneruskan agenda kepentingan dirinya. Telah banyak tuduhan dilemparkan kepada beliau tetapi kini hadir semula dengan perkara-perkara yang tidak masuk akal,” katanya.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top