.... Kit Siang Rasis, Pelampau Perkauman – Mahathir | AAKJ






Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah membuat pengakuan secara terbuka dan secara jelas melabelkan Lim Kit Siang sebagai seorang rasis dan pelampau perkauman.

Kenyataan bekas Perdana Men­teri itu dibuat semasa beliau berucap menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 di Shah Alam, Sela­ngor pada Mei 2013.

Rakaman video ucapan Dr. Mahathir itu tersebar semula sebagai membuktikan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu seolah-olah lupa pengakuannya sendiri apabila kini mula ‘berpeluk tubuh’ dengan Penasihat DAP tersebut demi meraih kepentingan politik peribadi beliau.

Dalam sedutan video berdurasi 3 minit 31 saat itu, Dr. Mahathir secara lantang menyebut dan men­gulanginya seba­nyak dua ka­li bahawa “Kit Siang adalah rasis, Kit Siang adalah pelampau perkauman”.

Beliau turut me­nempelak DAP bahawa mereka tidak boleh menutup mulutnya daripada membuat pertuduhan sebegitu dan tidak gentar sekalipun jika diheret ke mahkamah.

Katanya, DAP bercita-cita untuk menjadi kerajaan demokratik, tetapi dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, sesiapa sahaja boleh bercakap atau mengeluarkan pandangan dan DAP tidak senang apabila dirinya masih mampu bercakap lagi.

“Sebab itu apabila saya katakan bahawa Kit Siang adalah rasis, pelampau perkauman, sepatutnya dia jawablah kenapa dia bukan pelampau, sebaliknya dia suruh kawan dia, Karpal Singh bagi surat kepada saya minta saya tarik balik dakwaan bahawa Kit Siang adalah rasis. Tujuannya supaya saya berasa takut diheret ke mahkamah dan dengan itu, saya tidak akan kata Kit Siang adalah rasis.

“Tuan-tuan, malam ini pun saya nak sebut dengan suara selantang mungkin bahawa Kit Siang adalah seorang rasis (ulang dua kali), Kit Siang adalah seorang pelampau perkauman. Kita tidak takut nak tarik pergi mahkamah, tariklah tetapi kalau nak tutup mulut saya, mulut saya tidak boleh nak tutup,” katanya seperti dipetik menerusi laman sosial YouTube.

Video tersebut turut mendedahkan Dr. Mahathir memberikan sebab mengapa beliau menuduh Kit Siang sebagai rasis kerana pe­mimpin veteran DAP itu sanggup bertanding di kawasan Parlimen Gelang Patah memandangkan di situ ramai pengundi majoriti Cina.

“Di sana majoriti pengundi terdiri daripada Cina, sebab itu dia pergi Gelang Patah kerana bergantung kepada perkauman. Di sana dia akan hasut orang Cina supaya benci kepada orang Melayu, (de­ngan menyatakan) bencilah Me­layu dan undilah saya. Inilah (pera­ngai) Kit Siang,” katanya.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top