.... Kit Siang Layak Ketuai Pakatan Harapan | AAKJ





Pe­ngarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bersetuju dengan kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa mana-mana rakyat negara ini boleh menjadi Perdana Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bagaimanapun secara sinis membe­ritahu, sebagai permulaan, Kit Siang yang telah 51 tahun memimpin DAP perlu segera dilantik sebagai ketua pembangkang dan Pakatan Harapan terlebih dahulu.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana Kit Siang boleh menjadi Perdana Menteri sekiranya Ahli Parlimen Gelang Patah itu dilucutkan daripada jawatan Ke­tua Pembangkang di Parlimen.

“Kit Siang kata mana-mana rakyat Malaysia boleh menjadi Perdana Menteri, saya bersetuju. Sebagai permulaan, beliau perlu dilantik menjadi ketua pembangkang dan Pakatan Harapan, kenapa teragak-agak?

“Wan Azizah (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) sepatutnya memberi laluan kepada Kit Siang memandangkan DAP mempunyai lebih banyak kerusi Parlimen,” katanya menerusi akaun Twitter beliau hari ini.

Komen Abdul Rahman itu dipercayai merujuk kepada ke­nyataan di­buat Kit Siang di dalam blog beliau bahawa Perlembagaan Persekutuan menjelaskan mana-mana rakyat Malaysia boleh menjadi Perdana Men­teri.

Kit Siang ba­gai­­manapun mendakwa idea untuk menjadi Perdana Menteri tidak pernah terlintas di dalam fikiran beliau, meskipun telah me­mimpin DAP selama lima dekad.

Dalam pada itu, Abdul Rahman mencabar Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menamakan Kit Siang calon Perdana Menteri.

“Muhyiddin perlu berani untuk menyatakan Kit Siang sepatutnya menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang. Berhenti bermain-main!” tegasnya.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top