.... Kit Siang dedahkan sikap sebenar terhadap undang-undang Islam | AAKJ




Tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengepalai penentangan terhadap pembentangan usul persendirian cadangan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 menguatkan lagi tanggapan ramai mengenai sikap beliau mengenai undang-undang Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. ­Asyraf Wajdi Dusuki berkata, secara asasnya, cubaan menghalang pembentangan dan perbahasan sesuatu isu dan rang undang-undang juga seolah-olah menafikan prinsip demokrasi.

Sehubungan itu, beliau pelik dengan pelbagai alasan Kit Siang semalam sedangkan ketika dua kali Akta 355 dipinda pada 1984 dan 1989, DAP langsung tidak membangkitkan segala dakwaan dan tohmahan yang dilontarkan kelmarin.

“Malah, Ahli Parlimen DAP Kepong, Tan Seng Giaw turut hadir dalam perbahasan pada 1984 dulu sehingga sekarang. Biarlah proses demokrasi berjalan di Parlimen dengan dibahaskan terlebih dahulu RUU sebagaimana dibentang dan disokong oleh dua ahli Parlimen Pas kelmarin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, beberapa ahli Parlimen daripada DAP dan PKR dilaporkan seolah-olah cuba menghalang RUU 355 dibentangkan di Dewan Rakyat semalam apabila membangkitkan beberapa perkara kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebaik sahaja rang undang-undang itu mahu dibacakan.

Sementara itu, dalam satu majlis di MELAKA hari ini, Asraf Wajdi berkata, apabila RUU355 ditangguhkan pada sesi akan datang, ia memberi isyarat bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat memberi ruang seluas-luasnya kepada semua ahli Parlimen pelbagai parti untuk membuat keputusan sama ada bersetuju atau menolak.

Sekiranya usul itu dipersetujui, katanya, ia akan diambil alih oleh kerajaan Persekutuan bagi proses sete­rusnya kerana RUU 355 adalah di bawah bidang kerajaan dan bukannya milik individu atau parti politik.

“Kerajaan harus mengambil tanggungjawab untuk mene­litinya kembali sebelum membentangkan semula dalam Parlimen pada masa akan datang jika dipersetujui semua pihak. Jadi, kita tunggu sesi akan datang,” ujarnya.

Bagi bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang pula, Kit Siang yang berpuluh-puluh tahun menjadi ahli Parlimen sepatutnya menunjukkan tingkah laku yang lebih baik dan bukannya menjadi ‘jaguh’ mengganggu pembentangan RUU 355.

Katanya, sebagai ahli politik veteran, Penasihat DAP itu patut faham tentang hak ahli Parlimen yang lain.

“Mengapa beliau sendiri lebih-lebih. Sikap sebegitu menimbulkan kekeliruan yang akhirnya menjejaskan keharmonian dan pembangunan negara,” katanya.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, gelagat menjengkelkan ahli Parlimen Pakatan Harapan yang bertindak menjerit dan tidak puas hati selepas penangguhan sesi perbahasan RUU 355, menimbulkan banyak keraguan ke atas komitmen mereka mempertahankan agama Islam.

“Cubaan mereka menghalang Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul tersebut menyerlahkan sikap pemimpin tertentu yang cuba menentang apa sahaja yang memihak kepada Islam. Ada juga antara mereka cuba memanipulasi apa sahaja yang boleh dilakukan demi mencapai matlamat mereka agar RUU 355 ini tidak mendapat sokongan,” katanya.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top