.... Keputusan Muktamad : Tiada Kerjasama Antara PAS, PKR | AAKJ




PKR dijangka tidak lagi mampu ‘tidur lena’ dalam mengekalkan kuasanya di Selangor apabila majoriti pemuda Pas negeri ini sebulat suara tidak mahu mempunyai apa-apa lagi hubungan dengan parti itu.

Pendirian tersebut difahamkan dimuktamadkan oleh Dewan Pemuda Pas Selangor melalui usul menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR yang telah diluluskan dalam Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor Ke-51 yang berlangsung di Auditorium Dewan Sivik MBPJ di Petaling Jaya, Ahad lalu.

Ketuanya, Syarhan Humaizi Abdul Halim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu selain menyifatkan keputusan tersebut merupakan suara akar umbi pemuda Pas di ne­geri ini yang merasakan tidak ada keperluan lagi untuk meneruskan hubungan dengan PKR.

Katanya, selain menjalinkan kerjasama dengan DAP dan PAN, keputusan itu turut mengambil kira pendirian PKR yang dianggap ‘tidak mesra’ dalam isu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas.

“Usul memutuskan kerjasama dengan PKR itu merupakan suara akar umbi pemuda Pas yang dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan daripada 22 Pas kawasan di Se­langor. Kita akur dan menghormati suara akar umbi mengenai perkara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Syarhan, usul yang diputuskan oleh Dewan Pemuda Pas Selangor itu adalah untuk memastikan hala tuju parti itu yang lebih baik pada masa depan selaras dengan prinsip perjuangan yang didokong sejak penubuhan tahun 1951.

Bagaimanapun katanya, usul menamatkan tahaluf siyasi de­ngan PKR akan dimuktamadkan secara rasmi dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-63 yang bakal berlangsung di Alor Setar, Kedah pada 29 April hingga 1 Mei ini.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top