.... Jawatan Naib Presiden Pas Kekal Status Quo? | AAKJ





Jawatan Naib Presiden Pas dijang­ka kekal dipegang oleh tiga pe­nyandangnya iaitu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Ini kerana menurut sumber, Pas tidak mahu episod perpecahan dalam kala­ngan ahli yang pernah berlaku sebelum ini berulang semula.

“Pas lebih menumpukan kepada perpaduan dalam kalangan ahli berban­ding perebutan jawatan di dalam parti kerana agenda utama Pas ialah untuk berpolitik secara matang dan memartabatkan Islam.

“Tidak mustahil kali ini jawatan Naib Presiden dikekalkan status quo sewaktu pemilihan parti sempena Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-63 nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan adalah dua muka baharu selain tiga penyandang tersebut yang dicalonkan bagi merebut jawatan berkenaan dalam muktamar tahunan parti itu yang akan berlangsung pada 29 April hingga 1 Mei ini di Alor Setar, Kedah.

Bagaimanapun sumber itu berkata, Takiyuddin dan Nasrudin masih mempunyai ruang untuk mengisi jawatan tersebut berdasarkan rekod cemerlang mereka.

Katanya, kedua-dua pemimpin ter­ba­bit merupakan gandingan mantap bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meneruskan agenda Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

“Terserah kepada para perwakilan untuk membuat pilihan kerana mereka diberi kebebasan sepenuhnya tanpa dipengaruhi anasir luar untuk memilih siapa calon terbaik untuk jawatan tersebut,” katanya.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top