.... Hinanya Mahfuz Di Mata PAS | AAKJ






Kini, PAS tidak lagi menganggap bekas naib presidennya, Datuk Mahfuz Omar sebahagian daripada ahli parti Islam itu ekoran sering mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan pimpinan mereka.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata, rata-rata ahli PAS kini tidak lagi boleh menerima Mahfuz sebagai ahli parti itu ekoran kenyataan serta kritikannya sendiri mencerminkan beliau sebagai orang luar.

“Datuk Mahfuz ini biarpun dia PAS, tapi orang PAS dah tak iktiraf dia sebagai ahli. Dan dia bercakap sekarang, seolah-olah dia berada di luar parti PAS.

“Jadi, biarlah dia sedar di mana dia berada dan apa yang dia cakap, orang PAS boleh terima apa yang sudah berlaku dalam pembentangan baru-baru ini dan juga strategi-strategi tertentu yang diatur untuk kita perkasakan mahkamah syariah,” katanya, memetik laporan Malaysia Gazette.

Semenjak pasca muktamar ke-61 PAS, Mahfuz dilihat selalu bersikap sinikal dan tidak sehaluan dengan pimpinan PAS.

Beliau sering hadir menyertai ceramah Parti Amanah Negara (PAN) yang sangat dimusuhi majoriti pimpinan PAS ketika ini.

Tindakan itu menyebabkan beliau digelar ahli “harum manis” dalam PAS – merujuk kepada buah mangga yang berwarna hijau di luarnya tetapi berisi oren.

Malah pada pertengahan Februari lalu, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyarankan supaya Mahfuz meninggalkan PAS kerana sering mengkritik serta menyerang parti berkenaan.

“Seelok-eloknya dia yang keluar, daripada jadi macam sekarang ini, tidak tahu ke mana, duduk dalam PAS tapi serang PAS. Kritik PAS, baik dia isytihar keluar, buat apa duduk lama-lama dalam PAS,” kata Nik Amar.

Malah yang terbaru, Mahfuz turut membidas tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendiamkan diri mengenai penangguhan sesi perbahasan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pindaan 2016 atau Akta 355 oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia Jumaat lalu.

Katanya, Abdul Hadi sepatutnya bangun dan mempersoalkan tindakan Pandikar yang tiba-tiba menangguhkan usul berkenaan tanpa sebarang alasan yang kukuh.

Sementara itu, Hashim berkata pihaknya akan mengambil tindakan terhadap Mahfuz sebelum sidang Dewan Rakyat yang akan datang.

“Insya Allah ada. Perkara-perkara yang akan dilakukan sepanjang sebelum sidang (Dewan Rakyat) yang akan datang,” katanya.

Namun, Hashim tidak menjelaskan secara terperinci bentuk tindakan yang bakal dikenakan terhadap Mahfuz.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top