.... Haris Mohon Permit Baharu, Ikut Tarikh Mukhriz | AAKJ





Bekas Pegawai Khas Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Haris Che Mat akan mengemukakan semula permohonan kepada polis untuk mendapatkan permit bagi memboleh­kan debat dijalankan dengan bekas bosnya itu.

Haris berkata, permohonan semula itu dibuat bagi memastikan debat antara beliau dan Mukhriz berjalan pada tarikh baharu yang diminta bekas Menteri Besar Kedah tersebut iaitu pada 27 April.

Katanya, permohonan semula itu dibuat setelah polis tidak meluluskan debat yang dijadualkan pada Sabtu lalu di Dewan Sera Sentosa, Padang Sera, Kedah atas faktor bantahan penduduk dan keselamatan.

“Saya berharap Mukhriz tidak panik dan gementar menghadapi majlis debat ini kerana ramai yang ingin tahu bagaimana anak-anak Dr. Mahathir menjadi kaya raya,” katanya dalam satu kenya­taan hari ini.

Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam sebelum ini dicabar Haris untuk berdebat mengenai keupayaan beliau menjadi jutawan dalam masa singkat.

Menurut Haris, debat tersebut adalah antara beliau dengan Mukhriz sahaja dan anak Tun Dr. Mahathir Mohamad itu tidak wajar mengaitkan penerbit filem Hollywood, Riza Aziz.

“Saya minta debat dijalankan antara Mukhriz dan saya sebab rakyat ingin tahu dari mana sumber kekayaan anak-anak Dr. Mahathir.

“Riza bukan bekas majikan saya dan perihal dirinya tidak terkandung dalam cabaran debat yang saya kemukakan kepada Mukhriz sebelum ini,” katanya.

Tambah Haris, beliau yakin ca­baran debat itu amat merisaukan Mukhriz dan Dr. Mahathir.

“Mukhriz akan mencari pelbagai alasan untuk mengelak berdebat mengenai kekayaannya bersama adik beradik yang lain.

“Perkara ini bukan isu baharu, sebelum ini persoalan tentang kekayaan anak-anak Dr. Mahathir juga dipertikaikan pemimpin Pakatan Harapan antaranya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli,” katanya.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top