.... Guan Eng Harus Belajar Asas Makroekonomi | AAKJ




Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan pemimpin pembangkang lain diingatkan supaya belajar asas makroekonomi sebelum membuat tuduhan tidak berasas tentang ekonomi Malaysia berdasarkan kepada kadar inflasi utama yang tinggi pada Mac lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, kadar inflasi tinggi yang dicatatkan pada Mac lalu adalah disebabkan kesan asas yang rendah seperti dijelaskan Jabatan Perangkaan Negara.

“Misalnya, kadar inflasi pe­ngangkutan pada Mac 2016 jatuh sebanyak negatif 8.2 peratus apabila harga petrol RON95 menjunam kepada RM1.60 setiap liter, manakala pada Mac lalu, harga pe­trol RON95 meningkat sebanyak 23 peratus kepada RM2.29 setiap liter. Ini adalah sebab utama kenapa kadar inflasi meningkat sejumlah 5.1 peratus,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini hari ini.

Semalam, Guan Eng dalam satu kenyataan telah menyalahkan kerajaan dengan menuduh bahawa kadar inflasi tinggi sebanyak 5.1 peratus berlaku di­sebabkan oleh kerajaan autokratik dan ra­suah serta tiada ketelusan dalam pengurusan kewangan.

Guan Eng berkata, kadar inflasi tinggi turut berlaku pada 1998 dan 2008 semasa Malaysia menghadapi krisis kewangan Asia dan global serta perkara itu telah memberi kesan lebih banyak kepada kumpulan berpendapatan rendah.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman memberitahu, kadar inflasi tinggi yang berlaku pada 1998 di­sebabkan penyusutan mendadak nilai ringgit sehingga meningkatkan kos barangan import seperti makanan, manakala pada 2008, kadar inflasi tinggi disebabkan kenaikan mendadak harga mi­nyak mentah antarabangsa hingga mencecah AS$140 setong dan menyebabkan kerajaan menaikkan harga runcit petrol dan diesel.

“Kadar inflasi yang tinggi tidak semestinya berlaku semasa sesebuah ekonomi mengalami kegawatan atau krisis. Malaysia pernah mencatatkan kadar inflasi tinggi pada tahun 1980, 1981, 1982 dan 1992 apabila ekonomi tumbuh pada kadar 6.7 peratus, 9.7 peratus, 5.8 peratus dan 4.7 peratus pada tahun itu.

“Malah, kadar inflasi juga kebiasaannya menurun semasa krisis ekonomi berlaku misalnya pada 1985 dan 1986 ketika ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan negatif, inflasi dicatatkan hanya 0.3 peratus dan 0.7 peratus. Begitu juga pada 2009 semasa ekonomi Malaysia menguncup 1.5 peratus, kadar inflasi dicatatkan hanya 0.6 peratus. Ini kerana semasa kegawatan ekonomi, pengguna akan mengurangkan perbelanjaan dan penggunaan swasta akan berkurang,” jelasnya.

Abdul Rahman menambah, kadar inflasi bagi kumpulan berpendapatan bawah RM3,000 adalah 4.7 peratus pada Mac lalu berbanding kadar inflasi nasio­nal 5.1 peratus disebabkan mereka membelanjakan lebih banyak wang untuk barangan asas yang kebanyakannya dikawal kerajaan.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top