.... Ezam, PBR Mahu 'Jual Kotak’ Lagikah? | AAKJ





Apabila cakap tidak serupa bikin inilah akibatnya. Seperti mana gelagat Datuk Mohd. Ezam Mohd. Nor dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang masing-masing kini menjadi presiden dan timbalan presiden sebuah parti yang dinamakan sesuka hati mereka, Parti Bebas Rasuah (PBR).

Parti apakah macam ini, letak nama sekadar nak menyedapkan sebutannya sahaja?

Hinggap dari satu parti ke satu parti macam langau, kemudian tubuh sebuah parti politik yang barangkali untuk beberapa bulan sahaja hanya tujuan meng­hadapi pilihan raya umum. Berapa keahliannya, mana cawangan dan bahagiannya serta apa piagamnya? Selepas pilihan raya, tutup kedai.

Buat saudara Mohd. Ezam dan Khairuddin, rakyat Malaysia bukannya tidak perhati gelagat anda berdua. Bukankah sebelum ini anda berdua singgah sebentar pada parti yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?

Mengapa tiba-tiba keluar daripada parti itu? Tidak sebulukah dengan PPBM? Apa beza tubuh PBR dan kemudian me­rancang menjadi salah satu gabungan Pakatan Harapan yang diterajui DAP, yang anggotanya juga PPBM?

Bukankah nanti andai di­terima oleh DAP yang memiliki kerusi terbesar dalam pakatan itu, akhirnya anda berdua akan bertentang mata dalam mesyuarat pakatan itu yang turut dihadiri Dr. Mahathir? Boleh bekerjasamakah PBR sebagai satu pasukan andai benar punca anda berdua meninggalkan PPBM tempoh hari ini di­sebabkan masalah dalaman parti berkenaan?

Mohd. Ezam baru tiga bulan dalam PPBM manakala Khairuddin lebih kurang 67 hari, de­ngan masing-masing alasan keluar PPBM kerana hendak tumpu kepada NGO yang diuruskan dan kes mahkamah yang akan berlangsung secara `berterusan’. Tetapi tiba-tiba terfikir pula tubuh parti baharu.

Dan lebih lawak dan boleh difikirkan rasionalnya apabila permohonan Mohd. Ezam yang terkenal dengan gelaran ‘Ezam jual kotak’ mahu menyertai Pakatan Harapan ini disindir oleh Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan.

“Saya pun pening, macam mana Parti Bebas Rasuah boleh mohon menyertai parti yang kuat rasuah?,” katanya menerusi apli­kasi WhatsApp.

Cheng Guan tidak merujuk kepada sesiapa tetapi perbi­caraan kes rasuah melibatkan Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon yang sepatutnya bermula 27 Mac lalu ditangguhkan ke 25 April ini untuk pengurusan kes. Ini sementara menunggu rayuan mereka mencabar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 selesai.

Guan Eng didakwa me­nyalahgunakan kuasanya untuk menukar status sebuah tanah milik syarikat Li Koon bagi manfaat mereka. Mereka berdua mengaku tidak bersalah.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa sebagai penjawat awam mendapatkan untuk dirinya sebuah lot tanah dan bang­lo daripada Li Koon pada harga RM2.8 juta, lebih rendah daripada nilai pasaran RM4.27 juta pada 28 Julai 2015.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top