.... DAP Tidak Mampu Sembunyi ‘Taring’ | AAKJ





Kekecohan sewaktu pembentangan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 kelmarin menunjukkan tahap kuasa sebenar DAP dalam Pakatan Harapan, meskipun parti itu cuba menyembunyikan pengaruhnya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, perkara itu dapat dilihat apabila pemimpin Pakatan Harapan lain termasuk Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri dilihat senada de­ngan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang kuat menentang RUU 355.

Menurutnya, apa yang berlaku adalah bukti bahawa sesiapa pun menjadi pemimpin dalam pakatan itu hanya merupakan boneka yang mengikut telunjuk DAP.

“Ini keadaan yang berlaku dengan DAP tetap menjadi dominan walaupun Kit Siang bukan mengetuai blok mereka. Dia bukan baharu berpolitik dalam negara ini, dia tahu banyak perkara.

“Baginya, yang penting matlamatnya tercapai. Oleh sebab itu, dia tidak kisah sesiapa pun diletak mengetuai Pakatan Harapan,” katanya kepada Ming­guan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kedudukan Pakatan Harapan diketuai DAP apabila Kit Siang enggan menjadi Pengerusi pakatan tersebut meskipun partinya paling dominan dari segi jumlah kerusi di Dewan Rakyat.

Katanya, pendekatan Kit Siang yang tidak mahu menonjol dalam Pakatan Harapan hanya berniat untuk mengaburi mata rakyat terutama orang Melayu bagi mendapatkan undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Dia atur strategi letak pemimpin lain di barisan hadapan supaya rakyat tidak nampak permainan DAP walaupun hakikatnya parti itu adalah penentu segalanya dalam Pakatan Harapan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keengganan Kit Siang mengetuai Pakatan Harapan adalah kerana beliau sendiri merupakan pemimpin de facto blok pembangkang itu.

“Semua tahu dia adalah ‘bapa diktator Malaysia’ kerana masih berkuasa dalam DAP. Cara dia menguasai DAP juga menggunakan taktik yang tidak demokratik. Selaku pemimpin de facto, Kit Siang yang merancang dan menentukan hala tuju pembangkang,” katanya.

Jelasnya, oleh kerana kuatnya cengkaman Kit Siang, sesiapa sahaja pemimpin Melayu yang menjadi ketua dalam Pakatan Harapan akan tetap mengikut te­lunjuk Penasihat DAP itu.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top