.... Dakwa KPKT Abaikan Rakyat, UMNO Bidas Pembangkang | AAKJ





Pakatan Harapan yang dipimpin DAP dibidas di sebalik dakwaan mereka kononnya Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar menyalahgunakan kuasa di sebalik arahan pembatalan kelulusan projek-projek kecil kerajaan tempatan (BP1).

Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd. Karli menegaskan, dakwaan tersebut adalah tidak berasas sama sekali selain menunjukkan pihak pembangkang seolah-olah cuba memburuk-burukkan Kerajaan Persekutuan dengan memutarbelitkan isu berkenaan.

Sebaliknya, beliau memberikan contoh di Parlimen Kuala Langat yang mana KPKT telah menyalurkan peruntukan RM430,000 untuk tujuan pembaikan bumbung rumah membabitkan 33 keluarga yang rosak dalam tempoh empat bulan pada tahun ini.

“KPKT memberikan peruntukan itu walaupun Parlimen Kuala Langat ketika ini dikuasai oleh PKR. Jadi di manakah asas tuduhan pembangkang yang mengatakan Menteri KPKT (Noh Omar) menyalahgunakan kuasa.

“Malah, saya dimaklumkan KPKT juga dalam proses meluluskan peruntukan untuk memperbaiki beberapa buah perumahan strata di Saujana Putra, Teluk Panglima Garang dan Sungai Emas di kawasan Parlimen ini dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Cawangan di Taman Setia Jaya di sini malam semalam.

Baru-baru ini, beberapa pemimpin Pakatan Harapan mendakwa Kerajaan Persekutuan menyalahgunakan kuasa ekoran keputusan drastik membatalkan kelulusan projek BP1 di kawasan Parlimen yang mana Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihan raya umum lalu.

Dakwaan itu dilapor dibuat melalui kenyataan beberapa wakil rakyat pembangkang iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, Dr. Idris Ahmad dari PKR, Ahli Parlimen Raub dari DAP, Datuk Mohamad Ariff Sabri Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Shah Alam dari PAN, Khalid Abdul Samad.

Bagaimanapun, Noh dalam satu kenyataan pada 20 April lalu menafikan arahan pembatalan kelulusan BP1 itu merupakan keputusan yang bermotifkan politik, sebaliknya ia merupakan langkah KPKT menyelaraskan semula peruntukan di bawah perkara itu.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top