.... BN Pasti Pertahankan Semua Kerusi | AAKJ





Pemuda UMNO sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bagi memastikan jentera Barisan Nasional (BN) dapat mempertahankan semua kerusinya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, sokongan yang berterusan dan tidak berbelah bahagi menjadi pegangan utama semua ahli Pemuda dan akan bertindak bila tiba masanya.

“Pelancaran jentera Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) adalah bertepatan ketika ini dan Pemuda UMNO menyokong agenda penubuhannya.

“Pemuda UMNO yakin dan percaya bahawa gerak kerja berupa Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan perubahan taktikal yang dilakukan barisan kepemimpinan mampu memberi penambahbaikan besar dalam mempertahankan kuasa sedia ada,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin membayangkan PRU-14 akan diadakan pada bila-bila masa apabila me­minta semua jentera parti bersedia dan memastikan kemenangan tetap menjadi milik BN.

Dalam pada itu, Exco Pemuda UMNO, Sheikh Nafiq Alfirdaous berkata, JR Plus mengajak semua jentera BN untuk berada dalam keadaan bersedia dan agresif untuk pertahankan tampuk pentadbiran sedia ada.

“Sudah cukup rasanya kita hanya bertahan dan kini kita semua perlu lebih garang dan jika boleh menyerang secara berkesan mana-mana pihak yang cuba menggagalkan usaha BN mensejahterakan rakyat.

“Tidak dinafikan PRU-14 bakal menyaksikan persaingan sengit namun itu menjadi pembakar semangat untuk BN terus berkuasa,” ujarnya.

Seorang lagi Exco Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menyatakan tanggungjawab Pemuda UMNO kini semakin besar apabila perlu menarik pengundi muda sebagai usaha mengukuhkan lagi barisan pentadbiran kerajaan.

“Jika dahulu Pemuda UMNO hanya bertanggungjawab sebagai jentera gerak gempur dan logistik, tapi kini kami perlu mencari dan mengenal pasti golongan belia yang boleh menyertai UMNO sekali gus menjadi pengundi.

“Jentera Pemuda juga akan terlibat dalam media sosial dan menjadi jurucakap bagi menyampaikan agenda kerajaan terutama kepada golongan belia. Penambahan ini menunjukkan Pemuda sudah matang dan sedia memikul tanggungjawab yang lebih besar,” jelasnya.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top