.... Atas Kegagalan DAP, PAP Bakal Bertanding Semua Kerusi Di P. Pinang | AAKJ





Hari ini, Parti Alternatif Rakyat (PAP) mengesahkan akan bertanding semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Presiden PAP Zulkifli Mohd Noor berkata parti berbilang kaum itu memutuskan untuk bertanding bagi semua kerusi di Pulau Pinang berikutan kegagalan kerajaan pimpinan DAP negeri untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau mendakwa kerajaan DAP Pulau Pinang akan tumbang dalam PRU14 akibat kerakusan pembangunan di negeri ini sehingga mendatangkan pelbagai masalah kepada rakyat.

“Kami telah bersedia bertanding 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang pada PRU14 nanti. Saya juga bersedia berdepan Lim Kit Siang sekiranya penasihat DAP itu bertanding bagi kerusi Parlimen di Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Beliau berkata PAP merupakan sebuah parti berbilang kaum dan akan menampilkan calon pelbagai bangsa untuk semua kerusi yang ditandingi.

PAP yang mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 30 Oktober 2015, ditubuhkan oleh bekas anggota DAP susulan krisis dalaman dan kepimpinan parti itu.

Terdahulu, Zulkifli yang juga bekas naib pengerusi DAP turut membidas kegagalan kerajaan Pulau Pinang dalam menangani masalah banjir sejak mengambil alih pentadbiran pada 2008.

Beliau berkata DAP pada tahun 2008 berjanji dengan rakyat Pulau Pinang untuk mengatasi masalah banjir tetapi setelah hampir 10 tahun memerintah, kerajaan DAP Pulau Pinang masih gagal menyelesaikan masalah itu.

“Selepas hampir 10 tahun, mereka mengeluarkan kenyataan yang sama iaitu perlukan masa dua hingga tiga tahun lagi untuk atasi masalah banjir di Pulau Pinang. Pemimpin DAP ini merupakan pemimpin yang pandai nyanyi dan lagu yang sama akan diulang nyanyi berkali-kali,” katanya.

Sabtu lepas, lebih 10 kawasan di Pulau Pinang dinaiki air selepas hujan lebat dan angin kencang yang berlarutan sejak pukul 7 malam.

Selain itu, antara kawasan terjejas ialah Lorong Batu Lanchang, Jalan P Ramlee, Sungai Pinang, Jalan Taman Free School, Jalan Bukit Relau, Sungai Ara, Paya Terubong, Greenlane, Jalan Masjid Negeri, Sungai Nibong, Bukit Jambul dan Farlim.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top