.... Anwar Sokong RUU355 | AAKJ



Anwar Ibrahim tiba-tiba mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah menyokong pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355).

Kenyataan itu sangat bercanggah dengan pendirian yang dipamerkan ramai Ahli Parlimen PKR dalam membantah pembentangan RUU 355 oleh PAS di Parlimen kelmarin.

Anwar dalam satu kenyataan dari dalam penjara sekonyong-konyong mendakwa kononnya beliau berpandangan pembentangan RUU 355 oleh pemimpin PAS di Parlimen kelmarin sebagai berjaya dan semata-mata untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

“Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Ahli Parlimen Marang) dan Datuk Takiyuddin Hassan (Ahli Parlimen Kota Baru) menerangkan di Parlimen bahawa RUU 355 bukanlah percubaan untuk melaksanakan hudud dan jaminan diberi RUU 355 ini tidak terpakai kepada yang bukan Islam sebab dilakukan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Yang ditekankan adalah pemerkasaan Mahkamah Syariah yang wajar dipersetujui secara prinsipnya oleh semua,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Komunikasi PKR hari ini

Kenyataan Anwar itu bagaimanapun dilihat ramai pihak sekadar menyerlahkan lagi politik bermuka-muka dan hipokrit PKR yang boleh berubah nada dengan sekelip mata andai kepentingan politik mereka tergugat.

Anwar dipercayai membuat kenyataan itu bagi menyelamatkan kedudukan partinya yang sedang dikecam umat Islam kerana secara jelas menentang usaha untuk memartabatkan undang-undang syariah di Malaysia.

Anwar dalam pada itu seolah-olah cuba memutarbelit realiti penentangan pemimpin PKR ke atas RUU 355 di Dewan Rakyat dengan mendakwa kononnya kerajaan yang wajar dipersalahkan kerana Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi tidak keberatan meneruskan perbahasan RUU 355.

“Saya percaya Abdul Hadi tidak keberatan untuk meneruskan perbahasan. Kegagalan speaker (Yang Dipertua Dewan Rakyat) dan kerajaan Barisan Nasional bertindak serius dalam perkara tersebut memperkukuhkan persepsi bahawa kerajaan sengaja melengahkan dan mengharapkan agar kontroversi akan berlarutan,” dakwanya.

Ironinya, pemimpin tertinggi PAS dalam satu kenyataan semalam dan hari ini menegaskan bahawa parti itu menyokong keputusan Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 berikutan gelagat Ahli Parlimen Pakatan Harapan sewaktu membantah pembentangan rang undang-undang tersebut.

“Keputusan menangguhkan itu adalah terbaik, justeru PAS masih mempunyai banyak lagi masa untuk terus memberi kefahaman kepada ahli parlimen, pemimpin politik dan pelbagai pihak supaya mereka memahami kenapa Akta 355 ini perlu dipinda,” kata PAS Pusat.

Malah, Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan mendedahkan Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang terdiri daripada wakil rakyat DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) marah perbahasan RUU 355 ditangguhkan kerana hasrat mereka menggagalkan RUU 355 melalui undi menolak dalam `belah bahagian’ kelmarin tidak kesampaian.

Presiden PAS membentangkan RUU 355 di Parlimen yang bertujuan meminda akta bagi memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah termasuk meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas umat Islam yang berzina dan minum arak.

Perbahasan RUU 355 yang sepatutnya diadakan selepas pembentangannya terpaksa ditangguhkan pada sesi akan datang oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat ekoran provokasi melampau Ahli Parlimen Pakatan Harapan dalam membantah RUU 355.

Parti sekular DAP pernah mendakwa RUU 355 merupakan strategi halus PAS untuk melaksanakan hukum Islam hudud yang zalim, kuno dan tidak bertamadun di negara ini.

PKR dan PAN pula mendakwa RUU 355 tidak boleh dibenarkan kerana ia mengelirukan dan menimbulkan keresahan umat bukan Islam.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini mengumumkan akan menyertai Pakatan Harapan. – MYNEWSHUB

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top