.... Amaran! DAP Tidak Berhak Masuk Campur 
Urusan Islam | AAKJ






Ahli Parlimen DAP diingatkan supaya tidak masuk campur hal berkaitan Islam terutama melibatkan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 kerana tidak me­libatkan orang bukan Islam.

Selain itu, tindakan biadab mereka yang mengganggu pembentangan RUU 355 oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat minggu lalu membuktikan sikap bongkak DAP.

Yang Dipertua Pas Kawasan Kepala Batas, Bukhori Ghazali berkata, semua ahli Parlimen Islam tidak kira dari Barisan Nasional (BN) atau pembangkang seharusnya menerima usul RUU 355 itu dengan sebulat suara.

“Kita lihat DAP amat bongkak apabila mengganggu pembentangan oleh Presiden kami dan dilihat cuba masuk campur dalam hal ehwal berkaitan agama Islam.

“Jadi kami ingin mengingatkan ahli Parlimen DAP supaya tidak biadab dan sewenang-wenangnya mempermainkan agama Islam malah kami sentiasa berdiri teguh di belakang Tuan Guru Presiden,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas memimpin perhimpunan aman di hadapan Masjid Jamek Pajak Song di sini selepas solat Jumaat hari ini.

Kira-kira 50 ahli Pas dari Kepala Batas melaungkan sokongan kepada Abdul Hadi serta membawa sepanduk dan poster mengecam Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Tambah Bukhori, pihaknya juga terguris dengan tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang banyak kali masuk campur dalam isu berkaitan agama Islam termasuk melibatkan fatwa.

Jelasnya, keadaan lebih parah apabila ada rakan-rakan Islam dari parti lain bersekongkol dengan DAP dan menerima bulat-bulat penghinaan yang dilakukan oleh Guan Eng dan sekutunya.

“Itulah sebabnya kami bersama 12 Pas kawasan yang lain setuju untuk memutuskan hubungan dengan PKR kerana sudah hilang keyakinan dengan parti itu untuk menjadi 'rakan' kami,” katanya.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top