.... Akhbar Nanyang Siang Pau DIbakar Pemuda PAS Kelantan | AAKJ






Dewan Pemuda Pas negeri dan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Kelantan hari ini berhimpun secara aman bagi membantah penyiaran karikatur dalam akhbar Nanyang Siang Pau yang menghina Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selain itu, lebih 50 penyokong diketuai Naib Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohd Ariff Abdullah membakar puluhan naskah akhbar berkenaan di Tambatan Diraja di sini sebagai simbol rasa tidak puas hati mereka terhadap kebiadaban akhbar tersebut.

Menurut Mohd Ariff, pihaknya amat kecewa dengan kebiadapan akhbar berkenaan yang telah menggambarkan ulama sebagai seekor monyet yang memakai serban.

“Ini bukan soal menghina Presiden Pas sahaja tetapi lebih daripada itu mereka telah menggambarkan ulama dalam gambaran yang hina.

“Kita amat kesal kerana dalam negara yang pelbagai kaum dan agama kita sepatutnya saling menghormati supaya hidup secara harmoni.

“Walaupun mereka telah mengeluarkan nota kecil meminta maaf tetapi ia tidak mencukupi kerana penghasilan imej itu adalah cubaan menanam sentimen membenci agama Islam,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan bantahan di Tambatan Diraja di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi DHPP Pusat, Lim Guan Seng dan Setiausaha DHPP Kelantan, R.Hareetaran.

Sementara itu, Guan Seng pula berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana akan mencetuskan perasaan tidak puas hati masyarakat.

Akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau pada Sabtu lalu menimbulkan kegemparan masyarakat Islam apabila menyiarkan lakaran dua monyet yang merujuk kepada Abdul Hadi dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Karikatur yang disiarkan dalam versi cetak dan online bertajuk ‘Akta Monyet’ menunjukkan seekor monyet bersongkok dan dilabelkan sebagai ‘speaker’ manakala seekor lagi memakai serban bertenggek di pokok ‘Akta 355’.

-UM
 

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top