Menu




UMNO Bahagian Ampang menggesa polis menyiasat kes penyelewengan dana Yayasan Warisan Anak Se­langor (Yawas).

Ketua Bahagiannya, Datuk Ismail Kijo berkata, isu itu perlu dibawa ke mahkamah jika ada bukti kukuh berhubung dakwaan penyelewengan atau salah guna dana Yawas.

“Jika ada unsur-unsur yang tidak betul berhubung isu ini, saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini hari ini.

Dakwa Ismail, pihaknya difahamkan setiap wakil rakyat di negeri Selangor dan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) diberi kuasa untuk mengeluarkan sejumlah wang untuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

“Saya tidak faham bagaimana kerajaan negeri begitu mudah memberi arahan kepada wakil rakyat terbabit untuk mengeluarkan wang itu.

“Sepatutnya ada cara atau prosedur untuk mengeluarkan wang berkenaan, walau bagaimanapun ia begitu mudah untuk mengeluarkan wang berkenaan di bank,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Muhammad Nizam Shith berkata, melalui skim SMUE itu, mereka yang mendaftar khususnya waris kepada individu yang meninggal dunia akan dibayar RM2,500 melalui dua fasa iaitu bayaran pertama RM1,000 melalui wakil rakyat atau penyelaras DUN.

Jelasnya, bagi bayaran kedua pula adalah sebanyak RM1,500 selepas 60 hari daripada bayaran pertama dibuat.

“Bagaimanapun kemusykilan timbul apabila pihak kami difahamkan ada individu yang mendakwa masih belum me­nerima bayaran penuh dan dikatakan ada segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau penyelaras DUN selaku pemegang amanah tersebut dipercayai telah mengeluarkan wang dalam akaun tersebut secara berlebihan tidak mengikut jumlah penerima.

“Sehubungan itu, kami membuat laporan ini kerana khuatir berlaku kes pecah amanah kerana sistem pemantauan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” ujarnya.

Sebelum ini, Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos telah membuat dua laporan polis di Balai Polis Sekinchan berhubung penyelewengan dan salah guna kuasa seorang ADUN Selangor sejak 2008 sehingga kini berkaitan Yawas menerusi SMUE.

Jamal mendakwa, beliau mempunyai bukti kukuh menerusi dokumen setebal 78 muka surat itu bahawa skim khairat kematian yang diberikan kepada waris yang telah meninggal dunia sebanyak RM2,500 untuk rakyat di negeri ini telah disalah guna.
 
- UM


 
Top