.... Talak Tiga PAS Sekadar "Talak Politik"? | AAKJ



Husam Musa mencabar PAS Kelantan mengheret bekas pemimpin parti itu ke Mahkamah Syariah kerana melanggar bai’ah parti yang antara lain menyebut mereka jatuh talak dengan isteri masing-masing sekiranya meninggalkan PAS.

Husam, bekas naib presiden PAS yang dilucutkan daripada parti dan kini menganggotai Amanah, bagaimanapun berkata PAS tidak berani berbuat demikian.

“Saya menawarkan diri untuk menjadi kes ujian terhadap validity bai’ah Pas itu. Biar Mahkamah Syariah meneliti dan memutuskan kes ini berbanding pemimpin tanpa kelayakan untuk memfatwakannya,” kata Husam.

Menurutnya, sekiranya PAS gagal mengambil tindakan mahkamah, parti itu harus meminta maaf kepadanya.

Sabtu lepas, mesyuarat agung PAS Tanah Merah meluluskan sebulat suara usul membawa wakil rakyat PAS yang melanggar sumpah taklik dan bai’ah ke Mahkamah Syariah.

Antara lain, ia mendakwa perbuatan wakil rakyat PAS “lompat parti dan membawa lari kerusi PAS” adalah memalukan, dan menambah sumpah bai’ah itu dicadangkan arwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Husam, bekas exco kanan Kelantan yang dilihat rapat dengan Nik Aziz, berkata bekas menteri besar kelantan itu tidak pernah membangkit isu pelanggaran bai’ah sama ada secara tertutup atau terbuka.

“Malang, pemimpin kecil yang datang kemudian berlagak tahu segala-galanya.”

Menurut Husam, usul itu menunjukkan PAS “tidak mempunyai idea konstruktif selain isu-isu tidak produktif seperti ini”.

“Talak tidak akan jatuh seperti yang menghantui pemikiran sesetengah pimpinan PAS yang galak mempolitikkan isu ini. Insya Allah ia hanya akan memalukan PAS sendiri.”

Selain Husam yang merupakan Adun Salor, 3 bekas wakil rakyat PAS yang dikatakan melanggar bai’ah itu ialah Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaafar, Dr Hatta Ramli (Kuala Krai) dan Dati Ibrahim Ali, yang bertanding atas tiket PAS di Pasir Mas pada 2008 sebelum mengisytiharkan dirinya tidak berparti.



sumber

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top