.... Skandal FOREX: Hasil Siasatan Dalam Masa 3 bulan | AAKJ



Pasukan Petugas Khas berhubung urus niaga membabitkan kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) pada 90-an akan melaporkan hasil siasatannya kepada Kabinet dalam masa tiga bulan, termasuk perakuan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja jika perlu.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata pasukan ini yang turut dianggotai enam ahli lain akan menjalankan tugas dengan terma rujukan menjalankan siasatan awal berkaitan kerugian Bank Negara dalam aktiviti spekulasi bagi urus niaga mata wang asing, sejauh mana tindakan menyembunyikan maklumat kerugian dan mengkaji jika ada perbuatan memberi kenyataan mengelirukan mengenainya kepada Mesyuarat Parlimen serta mengemukakan syor kepada kerajaan mengenai tindakan susulan.

Mohd Sidek berkata, enam lagi anggota Pasukan berkenaan ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Acryl Sani Abdullah Sani; Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Tan Sri Ranjit Ajit Singh. Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Amanah Persaraan (Diperbadankan), Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), Tan Sri Saw Choo Boon dan Rakan Kongsi Guaman, Jahaberdeen & Co, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, selain Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yusof Ismail bertindak sebagai Setiausaha dan Ketua Sekretariat Pasukan.

"Dalam usaha mencapai matlamat ini, Pasukan Petugas Khas akan meneliti semua aspek kes ini, antara lain peranan dan fungsi Bank Negara dan/atau mana-mana badan korporat atau individu dalam urus niaga spekulasi mata wang asing termasuk berkaitan kelulusan dan pengurusan aktiviti ini.

"Selain itu, pematuhan undang-undang, peraturan dan garis panduan berkaitan dengan peranan serta fungsi Bank Negara dalam urus niaga mata wang dan sama ada terdapat apa-apa tindakan untuk menutup skala kerugian sebenar Bank Negara dan individu yang terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Sidek berkata, pihaknya juga amat menggalakkan sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara itu untuk berkongsi mengenainya dengan menghubungi Pasukan Petugas Khas di Kementerian Kewangan di sini, emel taskforcefx@treasury.gov.my dan telefon 03-8000 8000.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top