Menu




Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak membentangkan Rang Un­dang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 adalah berdasarkan konsensus dalam kalangan parti komponennya.


Sehubungan itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, tidak timbul soal pusi­ngan U dalam keputusan tersebut memandangkan ia dilakukan berlandaskan semangat konsensus berkenaan.

“Sama ada kita terus dengan pembentangan rang undang-undang tersebut atau sebaliknya, ia mesti tertakluk kepada dasar BN iaitu konsensus.



“Apabila konsensus itu tidak berapa jelas maka kita perlu konsisten dengan polisi BN iaitu tidak boleh teruskan jika tidak boleh mendapat konsensus,” katanya kepada pemberita selepas Dia­log Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersempena Hari Terbuka Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Beliau ditanya berhubung ke­nya­taan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa parti itu memutuskan tidak membentangkan RUU 355 selaras de­ngan dasar dan amalan BN yang membuat keputusan berdasarkan persetujuan bersama.

Menurut Perdana Menteri, ia akan terus menjadi rang undang-undang persendirian dan terse­rah kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk menentukan per­aturan mengenainya.

Tambah Khairy, keputusan tersebut adalah satu tindakan yang konsisten dari segi menghormati suara dan pandangan semua parti komponen dalam BN.

“Ini tiada apa-apa kaitan de­ngan U-turn atau sebagainya. Kita perlu menghormati semangat konsensus dalam BN,” katanya.

Dalam isu berasingan, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, kerajaan perlu mencari kaedah bagi menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia terutama dalam sektor swasta.

Beliau berkata, sektor awam semata-mata tidak boleh menampung bilangan pemohon-pemohon pekerjaan tersebut

“Satu usaha perlu dilaksanakan untuk memastikan pengangguran belia dapat dikurangkan dan tidak meningkat. Saya percaya perkara ini mendapat perhatian Unit Perancangan Ekonomi untuk belanjawan akan datang.

“Usaha penjanaan peluang pekerjaan bagi graduan ini diharap dapat dipertingkatkan bersama gaji yang setimpal dengan kelayakan mereka,” katanya.

Bank Negara baru-baru ini melaporkan, walaupun kadar pe­ngangguran dalam negara rendah iaitu sekitar dua hingga tiga peratus tetapi ia agak tinggi dalam kalangan siswazah iaitu 10 peratus.

-UM


 
Top