.... PRU-14 : Muhyiddin Merungut Kerusi Ditandingi PPBM Bertindih | AAKJ





Beberapa kerusi yang mahu ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, bertindih dengan kerusi yang dimiliki parti pembangkang lain.

Keadaan ini mungkin mencetuskan kembali perebutan kerusi antara pembangkang seperti yang berlaku antara DAP dan PKR ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada Mei tahun lalu.

Perkara itu diakui Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengesahkan terdapat pertindihan antara kerusi yang mahu ditandingi PPBM, dengan kerusi yang dimiliki parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Katanya, parti itu sudah mengenalpasti kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mahu ditandingi yang akan dimaklumkan kepada PH, namun enggan mendedahkan nama serta jumlah kerusi yang bertindih.

“Memang ada kerusi-kerusi yang bertindih, tapi pokoknya kalau kita dah tahu di mana ada pertindihan, kita bincang.

“Umpamanya kalau satu kerusi itu, ada dua parti yang nak bertanding, kita bincang sesama sendirilah dengan harapan kita semua bersetuju jangan ada pertandingan sesama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang dipengerusikan Pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad di ibu pejabat PPBM di sini, hari ini.

Ketika PRN Sarawak pada Mei tahun lalu, PKR dan DAP gagal mencapai kata sepakat dan bertembung sesama sendiri di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong.

Pertelagahan itu tiba ke kemuncaknya apabila Naib Pengerusi PKR Sarawak, Boniface Willy Tumek, mengumumkan keluar parti selepas kecewa dengan kepemimpinan PKR Pusat yang disifatkannya terlalu berlembut dan ‘hilang taring’ dengan DAP dalam isu pembahagian kerusi berkenaan.
 
 

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top